Malaysia runding dengan Nepal hantar sampel DNA mangsa

Malaysia runding dengan Nepal hantar sampel DNA mangsa

MOHAMAD HASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Nepal bagi membolehkan sampel keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa banjir yang ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihantar ke negara ini untuk proses pemadanan dengan waris yang masih hilang.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu penting kerana pihak berkuasa Nepal berdepan kekurangan fasiliti, peralatan dan kemudahan untuk menjalankan proses pengenalpastian mangsa.

Katanya, kerajaan melalui Kedutaan Malaysia di Kathmandu turut meminta pihak keselamatan Nepal menghantar sampel DNA yang sudah diambil daripada mangsa yang ditemui bagi membolehkan proses padanan dilakukan di Malaysia.

“Apa yang sedang kami rundingkan juga adalah untuk kita dapat menghantar pakar-pakar DNA untuk kita meneliti ataupun kita nak minta supaya mereka menghantar DNA-DNA yang telah mereka ambil, sampel-sampel daripada mangsa-mangsa yang dijumpai.

“Hantar ke sini supaya lebih mudah untuk kita buat pemadanan dengan ahli keluarga terdekat yang telah pun diambil sampel DNA mereka.

“Cadangan berkenaan sudah disampaikan kepada kerajaan Nepal dan Malaysia kini menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa negara itu,” katanya ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang berunding dengan Kementerian Luar dan Kementerian Undang-Undang Nepal berhubung status rakyat Malaysia yang masih hilang.

Katanya, rundingan itu antara lain bagi mendapatkan kepastian mengenai prosedur pengesahan kehilangan supaya urusan seperti tuntutan insurans dapat dilakukan waris dalam tempoh lebih singkat.

“Di Nepal, mana-mana mereka yang hilang dan tidak dapat ditemui, sijil kematian hanya boleh dikeluarkan selepas tiga tahun, manakala di Malaysia tujuh tahun.

“Jadi, kalau boleh kita nak berunding supaya urusan-urusan seperti insurans dan yang lain-lain itu dapat diuruskan dengan segera.

“Kerajaan juga sedang melihat kaedah membolehkan waris terdekat mendapatkan dokumen yang dapat mengesahkan status kehilangan rakyat Malaysia yang sehingga kini masih belum ditemui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×