Pinjaman UK melonjak tahap tertinggi akibat ketegangan Asia Barat - Utusan Malaysia

Pinjaman UK melonjak tahap tertinggi akibat ketegangan Asia Barat

KOS pinjaman di UK melonjak akibat lonjakan harga minyak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kos pinjaman United Kingdom (UK) telah melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh 28 tahun di tengah-tengah pergolakan teruk dalam pasaran bon berikutan lonjakan harga minyak yang terus mencetuskan kebimbangan terhadap pe­ningkatan kadar inflasi.

Kadar hasil bon UK berjangka masa 30 tahun yang dikenali sebagai gilts, mencecah 5.9 peratus iaitu tahap tertinggi sejak 1998. Kadar hasil gilts penanda aras bagi tempoh 10 tahun me­lonjak kepada 5.38 peratus, ter­tinggi sejak 2007.

Pasaran turut meningkatkan jangkaan berhubung kenaikan kadar faedah oleh Bank of England (BoE). Sekurang-kurang­nya lima kenaikan dijangka berlaku antara masa ini hingga akhir 2027. Kenaikan pertama dijangka berlaku seawal November ini.

Perkembangan ini dijangka memberi tekanan berterusan kepada jutaan pemegang pinjaman perumahan. Mereka  telah pun berdepan peningkatan mendadak kadar pinjaman oleh bank-bank komersial sejak pe­perangan melanda Iran.

Punca utama ketidaktentuan pasaran ini adalah disebabkan lonjakan harga minyak mentah Brent. 

Harga minyak itu kini telah melebihi AS$107 (RM435.97) setong ke tahap tertinggi sejak Mei lalu di tengah-tengah pertempuran semakin meruncing di Asia Barat.

Harga minyak meningkat daripada AS$96 (RM391.15) pada akhir minggu lalu dan berada di landasan untuk mencatatkan kenaikan mingguan tertinggi sejak Julai.

Dalam pada itu, harga gas di UK turut melonjak dengan data daripada Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) menunjukkan peningkatan ke tahap tertinggi sejak Disember 2022.

Ia melonjak 128 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pasaran saham turut terjejas akibat krisis berkenaan, yang menyaksikan indeks FTSE 100 ditutup rendah 0.6 peratus atau susut 61.1 mata kepada paras 10,608.9. Indeks saham di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) turut mencatatkan penurunan.

Pergolakan dalam pasaran bon ini merebak ke seluruh ekonomi utama dunia. Namun situasi teruk dialami oleh UK yang kini menanggung kos pinjaman tertinggi dalam kalangan negara anggota Kumpulan Tujuh (G7). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×