Azeva terbuka hati jadi penyanyi selepas A. Aida koma - Utusan Malaysia

Azeva terbuka hati jadi penyanyi selepas A. Aida koma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azeva Natassha mengakui dirinya terbuka hati untuk terjun ke bidang seni selepas ibunya, Datuk A. Aida sedar daripada koma susulan komplikasi pembedahan lutut pada September tahun lalu.

Menurut Azeva, episod hampir kehilangan ibunya akibat serangan strok menjadi titik perubahan yang membuatkannya nekad menunaikan segala permintaan wanita itu.

“Dulu, ketika saya berusia 19 tahun, mama pernah suruh saya masuk studio dan merakam lagu. Saya masuk studio, tetapi ketika proses rakaman, saya rasa macam tidak mahu teruskan.

“Tetapi kali ini, saya benar-benar mahu memikul tanggungjawab untuk menyanyikan lagu ini setelah keluarga kami melalui satu ujian besar apabila mama diserang strok dan koma selama tiga hari di hospital.

“Ketika itu, doktor sudah meminta kami sekeluarga bersedia dengan sebarang kemungkinan. Doktor beritahu keadaan mama ketika itu 99 peratus sudah tiada harapan dan hanya tinggal satu peratus sahaja.

“Selama ini saya rasa macam sudah banyak perkara yang saya lakukan untuk mama, tetapi ketika berdepan keadaan itu, saya sedar semuanya masih belum cukup.

“Apabila mama akhirnya sedarkan diri, saya sangat bersyukur dan terharu. Sejak itu, saya memang berniat mahu lakukan apa sahaja yang mama mahukan,” katanya ketika ditemui pada sidang media single sulungnya, Tanpa Rasa Jemu, hari ini.

Tambah Azeva, pengalaman melihat ibunya bertarung nyawa turut menyedarkannya supaya menghargai setiap kesempatan bersama insan tersayang sebelum terlambat.

“Dulu, saya mungkin banyak menilai atau mempertimbangkan sesuatu berdasarkan kehendak dan cita rasa sendiri. Tetapi sekarang saya memilih untuk mengetepikan perkara itu. Selagi mama masih ada, saya mahu tunaikan dahulu apa yang dia mahukan.

“Ketika mama koma selama tiga hari, saya sedar ramai orang pernah melalui pengalaman yang sama. Apabila kita sudah kehilangan seorang ibu, mungkin penyesalan itu akan kekal selama-lamanya.

“Apabila mama kembali sedar, saya anggap itu sebagai rezeki yang sangat besar buat saya. Saya percaya Tuhan sudah mengatur semuanya.

“Segala yang saya miliki dan lalui hari ini juga tidak mungkin terjadi tanpa mama. Disebabkan itu, saya sanggup lakukan apa sahaja yang mama mahukan,” ujarnya.

Tanpa Rasa Jemu merupakan hasil ciptaan bersama Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi dengan liriknya hasil nukilan ibunya sendiri, Datuk A. Aida.

Lagu tersebut juga diangkat sebagai runut bunyi filem lakonan Azeva, Bisikan Nafsu yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 1 Oktober ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×