KUALA LUMPUR: Seramai 45,808 individu direkodkan menjadi ahli dan kembali bersama UMNO sejak konsep Rumah Bangsa digagaskan, tujuh bulan lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sambutan terhadap konsep yang digagaskan Presiden UMNO amat menggalakkan apabila ramai menyatakan hasrat untuk kembali, bersama-sama serta mengaktifkan semula keahlian mereka.
Menurutnya, perkembangan itu menyaksikan jumlah keseluruhan keahlian UMNO setakat 31 Ogos lalu mencecah 3,251,456 orang.
“Sejak Presiden menggagaskan konsep Rumah Bangsa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu, Ibu Pejabat UMNO telah menerima sambutan luar biasa.
“Terdapat mereka yang mahu kembali, yang mahu bersama-sama, yang mahu mengaktifkan balik dan yang mahu turut serta di dalam Rumah Bangsa,” katanya ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), semalam.
Menurut Asyraf Wajdi, daripada keseluruhan keahlian UMNO itu, Wanita merekodkan kira-kira 1.4 juta ahli, diikuti Pemuda seramai 418,000 dan Puteri sebanyak 226,000.
Katanya, Johor merekodkan pertambahan ahli baharu tertinggi sepanjang lapan bulan tahun ini, diikuti Pahang, Selangor, Perak dan Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas pemimpin utama parti termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kembali bersama Rumah Bangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak sombong dan leka ketika momentum ketika ini dilihat memihak kepada UMNO.
“Jangan terlalu mendongak ke atas tatkala angin memihak kepada kita. Kerana gelombang yang membawa kita ke atas boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa daratan, kita lupa diri, kita sombong, kita angkuh dan kita leka.
“Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendabik dada, tetapi merupakan suatu amanah untuk kita berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan,” katanya. – UTUSAN










