Presiden Iran tiba di India hadiri Sidang Kemuncak BRICS - Utusan Malaysia

Presiden Iran tiba di India hadiri Sidang Kemuncak BRICS

MASOUD Pezeshkian (kanan) tiba di New Delhi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian tiba di New Delhi pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS yang dianggotai 11 negara, dengan konflik Asia Barat dijangka menjadi antara agenda utama, menurut laporan stesen penyiaran India.

Pezeshkian, dalam lawatan pertamanya ke India sebagai pemimpin, akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, lapor agensi berita IRNA.

Sidang kemuncak BRICS selama dua hari itu bermula pada Sabtu.

“BRICS ditubuhkan untuk menentang unilateralisme,” kata Pezeshkian menurut IRNA.

Kumpulan itu ditubuhkan pada 2009 sebagai forum ekonomi sedang pesat membangun utama yang mahu mendapatkan pengaruh lebih besar dalam institusi yang didominasi kuasa Barat.

Kumpulan itu kemudiannya berkembang dan kini merangkumi Iran, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan  negara-negara yang mempunyai pendirian bertentangan berhubung konflik yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada Februari.

Presiden UAE, Mohamed bin Zayed Al Nahyan turut dijangka tiba di New Delhi, begitu juga Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, menurut Kementerian Luar India.

Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi juga akan berada di New Delhi.

Modi, yang bertemu Pezeshkian di Bishkek bulan ini, dijangka membincangkan isu tenaga dan pelaburan India di pelabuhan Chabahar, Iran.

New Delhi telah melabur besar di pelabuhan itu sebagai laluan perdagangan alternatif ke Afghanistan dan Asia Tengah yang tidak melalui Pakistan.

Bagaimanapun, konflik baru-baru ini meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan dan masa depan pelabuhan itu, manakala sekatan AS menyukarkan hubungan ekonomi India dengan Iran.

Pezeshkian turut akan bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, menurut agensi berita IRNA. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×