Lepaskan harimau bukan sekadar buka pintu sangkar - Utusan Malaysia

Lepaskan harimau bukan sekadar buka pintu sangkar

Harimau Malaya betina, Yong Choh yang dilepaskan kembali ke habitat semula jadi selepas menjalani proses rehabilitasi susulan konflik dengan manusia di Sungai Siput, Perak di Taman Negara melalui pintu masuk Tasik Kenyir, baru-baru ini. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa hari lalu, seekor Harimau Malaya betina bernama Yong Choh dilepaskan semula ke habitat semula jadinya di Taman Negara Terengganu, Tasik Kenyir. Umur harimau tersebut dianggarkan dalam tujuh tahun.

Yong Choh ditangkap di Kampung Choh, Sungai Siput, Perak pada 22 Julai 2026 selepas terlibat dalam konflik manusia-hidupan liar. Ia kemudian dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai untuk pemeriksaan kesihatan dan rehabilitasi.

Selepas disahkan sihat, Yong Choh dilepaskan pada Ahad lalu (6 September) . Menurut kerajaan, inilah kali pertama seekor Harimau Malaya liar yang diselamatkan daripada konflik, menjalani rehabilitasi dan dilepaskan semula secara saintifik serta terancang. Berita ini amat menggembirakan orang ramai.

KERJA SEBENAR BARU BERMULA
Kejayaan pelepasan harimau tidak boleh diukur ketika pintu kandang dibuka dan harimau berlari masuk ke hutan. Itu baru pelepasan. Belum tentu kejayaan.

Adakah Yong Choh boleh mendapatkan makanan sendiri? Adakah ia kekal jauh daripada penempatan manusia? Adakah ia dapat menyesuaikan diri dengan harimau lain yang mungkin sudah mempunyai wilayah di situ? Adakah ia selamat daripada jerat pemburu? Dan jika hidup cukup lama, mampukah ia membiak?

Tasik Kenyir nampak luas dan hijau pada peta. Tetapi seperti yang selalu Pak Aboo selalu sebut, hutan yang hijau belum tentu habitat yang baik.

Harimau memerlukan mangsa seperti babi hutan, rusa dan kijang. Ia memerlukan air, perlindungan, ruang bergerak dan kawasan yang tidak terlalu banyak diganggu manusia. Kalau bilangan mangsa rendah, harimau mungkin berjalan jauh mencari makanan. Dari situlah kemungkinan konflik boleh bermula semula.

BOLEH BELAJAR DARI RUSIA
Di Timur Rusia, enam anak Harimau Amur yang kehilangan ibu telah dipelihara dengan hubungan manusia pada tahap paling minimum. Haiwan itu diajar memburu mangsa hidup sebelum dilepaskan.

Hasilnya cukup memberangsangkan. Lima daripada enam harimau yang dikaji terus hidup di habitat liar. Bersama beberapa harimau lain yang turut dilepaskan. Kumpulan tersebut menghasilkan sekurang-kurangnya enam kelahiran dengan tidak kurang daripada 12 ekor anak.

Dalam erti kata mudah, kadar kejayaan kumpulan kajian itu sekitar 83 peratus.

Tetapi seekor harimau jantan gagal menyesuaikan diri. Ia memasuki China dan membunuh beberapa ternakan, termasuk 13 ekor kambing dalam satu malam. Akhirnya harimau itu terpaksa ditangkap semula dan ditempatkan di zoo.

Itulah realitinya, program pelepasan tidak pernah bebas risiko. Harimau boleh mati akibat kelaparan, kecederaan ketika memburu, penyakit, pertembungan dengan harimau lain atau terkena jerat.

Ia juga boleh keluar dari kawasan pelepasan, menyerang ternakan dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

India juga banyak memindahkan harimau ke kawasan yang populasinya telah merosot atau pupus. Ada program yang berjaya membentuk populasi baharu dan menghasilkan anak. Namun mereka turut berhadapan kematian harimau, pergerakan keluar dari kawasan perlindungan dan konflik dengan penduduk.

Kazakhstan pula baru memulakan usaha mengembalikan harimau ke kawasan yang telah kehilangan spesies tersebut lebih 70 tahun lalu. Sebelum pelepasan dilakukan, mereka membaik pulih habitat, meningkatkan populasi mangsa, menyediakan pasukan tindak balas konflik dan merancang pampasan bagi ternakan yang mungkin dibunuh.

Maksudnya, mereka tidak bermula dengan harimau. Mereka bermula dengan habitat.

Bagi Yong Choh, kita belum boleh memberikan peratus kejayaan. Ia baru beberapa hari kembali ke rimba. Kita perlu melihat data pemantauan untuk tempoh beberapa bulan, malah beberapa tahun.

Pelepasan Yong Choh wajar diraikan, tetapi jangan berhenti pada gambar dan upacara. Kawasan itu mesti dipantau. Jerat mesti dibersihkan. Populasi mangsa mesti mencukupi. Masyarakat sekitar perlu diberikan penerangan, saluran aduan dan bantuan segera sekiranya konflik berlaku.

Kita bukan sekadar mahu Yong Choh dilepaskan kembali ke habitatnya. Kita mahu dia terus hidup, kekal liar dan suatu hari nanti menyumbang kepada generasi baharu Harimau Malaya.

Sebab dalam konservasi, membuka pintu sangkar mengambil masa beberapa minit tetapi memastikan harimau terus hidup di luar sangkar pula memerlukan komitmen bertahun-tahun.

Penulisan ini hanyalah pandangan peribadi berdasarkan pemerhatian Pak Aboo melalui pengalaman, penulisan, dan kajian berkaitan terdahulu.

Abu Zahrim Ismail atau Pak Aboo ialah bekas kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang telah bersara. Beliau pernah terlibat dalam kajian harimau University of Florida-Malaysia, iaitu kajian harimau pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi perangkap kamera pada akhir 1990-an. Kajian tersebut diketuai oleh Dr. Kae Kawanishi dan Dr. Melvin Sunquist.

RUJUKAN
 Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Yong Choh Kembali Mengaum di Alam Rimba, 6 September 2026. www.nres.gov.my
 Miquelle, D. G. et al. Rehabilitating tigers for range expansion: lessons from the Russian Far East. The Journal of Wildlife Management, 2025.
 Wildlife Conservation Society. Conservationists Have Successfully Restored Tiger Population in Russia Where Absent for 50 Years, 11 December 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×