Harga minyak melonjak, kerajaan dijangka berdepan dilema subsidi - Utusan Malaysia

Harga minyak melonjak, kerajaan dijangka berdepan dilema subsidi

RAKYAT Malaysia memanfaatkan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95). - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga minyak mentah melebihi AS$100 (RMRM406.70) setong memberi kesan dua hala kepada ekonomi Malaysia, dengan sektor minyak dan gas berpotensi meraih manfaat, namun pada masa sama berdepan peningkatan kos import serta tekanan inflasi.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, sektor minyak dan gas berpotensi menerima manfaat menerusi peningkatan nilai eksport, pendapatan syarikat seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta hasil kerajaan berkaitan petroleum.

“Namun, Malaysia pada masa sama perlu berdepan peningkatan kos import minyak mentah dan produk petroleum, selain kos pengangkutan, logistik dan pengeluaran yang lebih tinggi.

“Keadaan itu boleh meletakkan kerajaan dalam dilema sekiranya harga minyak dunia kekal tinggi untuk tempoh panjang kerana manfaat daripada peningkatan pendapatan petroleum tidak semestinya dapat mengimbangi kenaikan kos yang ditanggung ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, harga minyak yang tinggi secara berpanjangan turut berisiko mempengaruhi jangkaan inflasi apabila peniaga menjangkakan kos operasi akan terus meningkat, sekali gus mendorong pelarasan harga lebih awal.

“Kenaikan harga minyak tidak semestinya menghasilkan inflasi besar serta-merta.

“Namun, minyak pada paras AS$100 setong atau lebih untuk tempoh panjang boleh menghasilkan tekanan inflasi yang semakin meluas,” katanya.

Barjoyai berkata, lonjakan harga minyak mentah yang mencecah AS$107 setong (RM411.17) ketika ini lebih didorong premium risiko geopolitik susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, berbanding semata-mata kekurangan bekalan minyak secara fizikal.

Ujarnya, terdapat tiga tekanan utama yang sedang mempengaruhi pasaran minyak dunia ketika ini, iaitu peningkatan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, gangguan di Selat Hormuz serta serangan terhadap infrastruktur dan laluan tenaga di rantau berkenaan.

“Selat Hormuz menjadi kebimbangan terbesar kerana laluan strategik itu sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

“Aliran minyak melalui Selat Hormuz dilaporkan merosot daripada sekitar lapan hingga sembilan juta tong sehari kepada kurang daripada dua juta tong sehari.

“Justeru, pasaran kini bukan sahaja bertanya berapa banyak minyak yang hilang daripada pasaran, tetapi lebih penting, berapa lama gangguan bekalan itu akan berterusan,” katanya.

Menurutnya, lonjakan harga minyak ketika ini mencerminkan premium risiko geopolitik yang boleh susut dengan pantas sekiranya konflik dapat dihentikan dan laluan penghantaran kembali normal.

“Bagaimanapun, sekiranya gangguan berlarutan, paras AS$100 setong berpotensi menjadi tahap harga baharu yang lebih normal bagi pasaran,” katanya.

Sementara itu, Barjoyai berkata, kesan konflik AS-Iran terhadap bekalan minyak dunia berpotensi menjadi sangat besar kerana risiko utama bukan sekadar kehilangan pengeluaran minyak Iran, sebaliknya gangguan terhadap laluan penghantaran.

“Gangguan di Selat Hormuz boleh menjejaskan keupayaan negara pengeluar seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Iraq dan Iran untuk membawa minyak ke pasaran dunia.

“Keadaan itu berpotensi mengubah konflik serantau menjadi kejutan bekalan global yang memberi kesan kepada keseluruhan rantaian tenaga dunia,” katanya.

Beliau berkata, kesan tersebut turut melangkaui pasaran minyak mentah apabila gangguan bekalan berpotensi menekan bekalan produk petroleum ditapis, khususnya diesel.

“Rantaian kesannya adalah daripada minyak mentah kepada penapisan, petrol, diesel dan bahan api jet sebelum memberi tekanan kepada sektor pengangkutan, makanan, pembuatan dan akhirnya harga pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×