1MDB bukan dendam politik - Sivamalar

1MDB bukan dendam politik – Sivamalar

Dendam politik
G. SIVAMALAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Prosiding mahkamah dan hukuman yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa bukan dendam politik sebaliknya amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab kepada rakyat Malaysia.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar berkata, kes berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Menteri Kewangan itu melibatkan tanggungan kerajaan sehingga RM51.4 bilion.

Menurutnya, menurut Kementerian Kewangan pada 9 Julai lalu, sebanyak RM42.5 bilion hutang dan komitmen berkaitan syarikat tersebut dibayar menggunakan wang rakyat.

“Yang lebih membimbangkan, komitmen kewangan ini masih akan terus ditanggung negara sehingga tahun 2039. Persoalannya, siapa yang akhirnya menanggung kos RM51.4 bilion ini?

“Ia dibayar menggunakan sumber kewangan negara, yang pada akhirnya merupakan wang rakyat dan pembayar cukai. Kerajaan masih perlu menanggung RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah Sukuk IMTN sehingga matang pada tahun 2039,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, isu tersebut masih relevan kerana beban kewangan tersebut terpaksa ditanggung sehingga 13 tahun lagi kerana ia sepatutnya boleh digunakan bagi keperluan rakyat.

“Jumlah sebesar itu tentunya mempunyai nilai besar kepada rakyat jika dapat disalurkan kepada keperluan negara seperti sekolah, hospital, pengangkutan awam, perumahan dan membantu keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Mereka yang diberikan kuasa mesti sentiasa ingat wang negara adalah wang rakyat. Sebarang penyalahgunaan amanah membawa kesan yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×