CYBERJAYA : Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) menyambut baik dapatan Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 yang menunjukkan skor Bacaan murid Malaysia meningkat kepada 393 mata, berbanding 388 mata dalam PISA 2022.
Peningkatan tersebut merupakan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh literasi negara.
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, dalam dunia yang semakin dipengaruhi kecerdasan buatan, media sosial dan limpahan maklumat digital, literasi hari ini perlu berkembang daripada membaca kepada keupayaan memahami hujah, menilai bukti dan membezakan fakta daripada dakwaan.
Dapatan PISA 2025 turut mengetengahkan kepentingan sokongan keluarga terhadap pembelajaran anak-anak.
Usaha membina generasi pembaca memerlukan penglibatan seluruh ekosistem: sekolah membina asas, akses kepada buku membuka peluang, keluarga membentuk kebiasaan dan komuniti menyuburkan budaya membaca.
Dalam konteks ini, MBKM memainkan peranan penting dalam menyediakan hala tuju pembangunan ekosistem perbukuan dan pembacaan negara melalui Dasar Perbukuan Negara 2026, di samping menyelaras penglibatan pelbagai pemegang taruh dalam usaha membudayakan membaca dan memajukan industri buku Malaysia.
Ketua Penolong Pengarah, Urus Setia Tetap MBKM, Wan Salahudin Wan Abdullah berkata, peningkatan pencapaian Bacaan dalam PISA 2025 merupakan perkembangan yang menggalakkan dan memberi momentum kepada usaha membina budaya membaca secara lebih menyeluruh.
“Melalui Dasar Perbukuan Negara 2026, MBKM akan terus memperkukuh hala tuju pembangunan ekosistem perbukuan dan pembacaan supaya membaca menjadi sebahagian daripada budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia,” katanya.
Kota Buku pula berperanan menterjemahkan aspirasi tersebut kepada pelaksanaan yang lebih dekat dengan pembaca. Melalui pembangunan ekosistem, platform dan program akses buku, Kota Buku menghubungkan hala tuju dasar dengan pengalaman membaca sebenar dalam kalangan murid, keluarga dan masyarakat.
Antara usaha yang digerakkan termasuk Baucar Buku MADANI, inisiatif Kerajaan MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dilaksanakan melalui Kementerian Pendidikan dengan Kota Buku sebagai rakan pelaksana; Inisiatif Perolehan Pintar Buku Nasional (PINTAR); Mini Kota Buku; serta platform Book Capital.
Kesemua inisiatif ini memperluas akses kepada bahan bacaan, memperkukuh pilihan buku serta mewujudkan lebih banyak titik pertemuan antara buku dan pembaca.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku Adibah Omar berkata, peningkatan Bacaan dalam PISA 2025 memberi dorongan kepada pihaknya untuk terus memperluas impak usaha pembudayaan membaca.
“Bagi Kota Buku, keutamaan kami adalah memastikan setiap murid mempunyai akses kepada bahan bacaan yang dapat mencetuskan minat, membina kefahaman dan seterusnya menjadikan membaca sebagai kebiasaan sepanjang hayat,” katanya.
MBKM dan Kota Buku berpandangan bahawa usaha melahirkan pembaca baharu perlu terus diperkasakan melalui akses yang lebih luas kepada buku dan penglibatan aktif keluarga serta masyarakat.
Minat membaca boleh bermula dengan perkara yang mudah seperti memilih buku bersama anak, berbual tentang apa yang dibaca, membaca bersama-sama serta menjadikan buku sebahagian daripada kehidupan di rumah, justeru, peningkatan Bacaan dalam PISA 2025 memberi momentum kepada perjalanan yang lebih besar, daripada akses kepada buku, kepada minat membaca; daripada minat, kepada kebiasaan; daripada kebiasaan, kepada kefahaman; dan akhirnya kepada sebuah Negara Membaca.
MBKM dan Kota Buku akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah, keluarga, penerbit, penulis dan pemain industri buku bagi memperkukuh ekosistem pembacaan negara serta meneruskan momentum positif PISA 2025 ke arah budaya membaca yang lebih kukuh dan mampan.
PISA 2025 memberi Malaysia sebab untuk yakin dan momentum untuk terus melangkah ke hadapan. Keupayaan membaca dibina di sekolah, kecintaan membaca disemai di rumah dan disuburkan oleh masyarakat, manakala ekosistem perbukuan yang kukuh memastikan pembaca terus mempunyai akses kepada buku, ilmu dan peluang untuk berkembang. –UTUSAN










