Bursa Malaysia berdepan tekanan geopolitik, harga minyak - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia berdepan tekanan geopolitik, harga minyak

BURSA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,700 berikutan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat, kenaikan harga minyak mentah global serta peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan sentimen pelabur. 

Pada pukul 5 petang semalam, bursa ditutup pada 1,705.52 susut 8.82 mata berbanding 1,714.34 pada Rabu.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, prestasi pasaran saham tempatan yang lemah dipengaruhi terutamanya oleh faktor luaran dan persekitaran global yang kurang menentu.

“Ketegangan di Asia Barat yang berterusan mendorong pelabur beralih ke arah aset yang lebih selamat, sekali gus mengurangkan selera risiko terhadap pasaran saham pesat membangun seperti Malaysia.

“Selain itu, pergerakan mata wang tempatan dan pasaran saham kini banyak dipengaruhi oleh penantian data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang bakal diumumkan untuk memberi isyarat jelas mengenai hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan dibuka sedikit rendah pada 4.0690/4.0740 berbanding 4.0650/4.0700 pada Rabu. 

Mengulas mengenai pergerakan ringgit, Idham berkata, kenaikan harga minyak mentah Brent yang berlegar sekitar AS$101.21 (RM411.22) setong turut mendorong pelabur mengambil pendekatan mengelak risiko.

“Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu ini, mata wang tempatan dijangka berdagang dalam julat RM4.05 hingga RM4.07 dalam masa terdekat,” katanya.

Berbanding mata wang utama, ringgit menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.6483/6519 daripada 2.6474/6509 sebelum ini.

Mata wang tempatan itu turut merosot berbanding euro kepada 4.7311/7370 daripada 4.7275/7333 dan berbanding pound British kepada 5.5100/5167 daripada 5.5043/5110.

Dagangan berbanding mata wang serantau pula bercampur-campur.

Ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.3459/3675 daripada 12.3579/3788, namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.50/6.52 dan rupiah Indonesia pada 232.2/232.6. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×