Isu poster: Beri muka sikit kepada kami - Achey  - Utusan Malaysia

Isu poster: Beri muka sikit kepada kami – Achey 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Achey, berharap masyarakat dapat memberi peluang untuk terus menyokong filem Keranda Tan Sri Terbang lakonannya walaupun berdepan krtitikan terhadap reka bentuk poster yang dikatakan kurang menarik.

Achey atau Mohd Nasir bin Hamzah, 40, bagaimanapun menerima kritikan dengan hati terbuka dan berharap penonton memberikan peluang kepada filem berkenaan dinilai berdasarkan jalan cerita berbanding reka bentuk poster.

“Tak adillah pada saya menghakimi filem kerana poster rekaannya tidak cantik.

“Mereka tengok poster dengan pelakon-pelakon yang mungkin mereka tidak kenal. Mereka nak pelakon-pelakon yang lebih hebat atau pelakon yang sedang ‘hot’ sekarang.

“Mereka beranggapan kalau pelakon yang hebat sekarang ada dalam cerita ini, mereka akan datang tengok. Jadi maksudnya kau datang bukan kerana cerita, tetapi kerana pelakonnya.

“Bagi muka sikit kepada kami untuk tengok di pawagam. Janganlah hanya tengok poster,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan yang menganggap poster Keranda Tan Sri Terbang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dia menegaskan tanggapan itu tidak benar sama sekali.

“Kita tidak nafikan teknologi AI sekarang lebih hebat dengan teknologi suntingan kita.

“Tapi poster kita real. Kenapa AI pula?” katanya.

Bagaimanapun menurut Achey, usaha terbaik yang boleh dilakukan pihak produksi ketika ini adalah meneruskan promosi filem berkenaan dengan cara yang baik selain mengajak penonton hadir ke pawagam.

“Sekiranya pihak produksi merasakan terdapat keperluan untuk memperkenalkan poster baharu susulan kritikan yang diterima, perkara itu boleh dilakukan tanpa perlu memadam poster terdahulu.

“Kalau produksi ambil serius benda itu, mungkin mereka akan ubah kepada poster seterusnya. Poster yang ini jangan mereka padam, biarkan saja. Keluar poster baharu.

“Kita tidak mengiyakan dia, kita juga tidak menidakkan dia. Kau komen poster, kita naikkan poster baharu. Jangan padam poster itu.

“Kalau padam, nampak sangat,” katanya.

Enggan terlalu memberi perhatian kepada komen di media sosial, Achey menganggap sudah menjadi lumrah jika karya dihasilkan tidak berjaya memenuhi selera semua orang di media sosial.

“Kita nak menjanjikan benda itu 100 peratus mengikut apa yang kita tawarkan. Kalau kau datang dengan diri yang memang tak suka, benda itu baik macam mana pun, kau tetap takkan suka sebab dari awal lagi kau sudah meletakkannya dalam minda.

“Saya selalu berpegang dalam hidup, kalau ada 100 orang, 50 akan suka kita dan 50 lagi mungkin tak suka kita.

“Kalau ada di media sosial yang berkata begitu, itulah 50 orang yang sebahagiannya tidak suka kita,” katanya.

Terdahulu, poster Keranda Tan Sri Terbang menerima kritikan kerana dianggap tidak menarik selain turut dikaitkan dengan penghasilan menggunakan kaedah janaan kecerdasan buatan.

Filem Keranda Tan Sri Terbang merupakan naskhah seram komedi arahan Waan Hafiz mengisahkan misteri kehilangan keranda Tan Sri Borhan yang bakal ditayangkan hujung tahun ini.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×