Gesaan letak jawatan tidak selesai isu petugas kesihatan

Gesaan letak jawatan tidak selesai isu petugas kesihatan

R.A. Lingeshwaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu membabitkan perkhidmatan doktor udara (FDS) termasuk aspek keselamatan dan kebajikan petugas bukan perkara baharu malah telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

Ahli Dewan Negara, Dr. R.A. Lingeshwaran berkata, tragedi Long Lellang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencari kambing hitam politik termasuk menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meletakkan jawatan.

Beliau berkata, meletakkan jawatan bukan penyelesaian kepada masalah sistemik yang telah berlarutan sekian lama dan memerlukan pembaharuan secara menyeluruh.

“Isu berkaitan FDS, tenaga kerja, elaun dan pelbagai kelemahan dalam sistem kesihatan telah wujud bertahun-tahun malah ada yang berlarutan sejak beberapa dekad.

“Tragedi Long Lellang mesti membawa kepada siasatan menyeluruh, akauntabiliti dan pembaharuan sistem, bukan dijadikan alasan untuk mencari kambing hitam politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau sendiri pernah membangkitkan isu keselamatan FDS dan mendesak supaya model helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan itu dihentikan berikutan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

Katanya, pada awalnya beliau dimaklumkan perkhidmatan tersebut akan diteruskan namun selepas nasihat dan penilaian daripada pihak berkuasa berkaitan, FDS di Sarawak kemudiannya dihentikan sementara.

“Bagi saya, keselamatan petugas mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Selain itu, Lingeshwaran berkata, cadangan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan elaun FDS kepada RM60 masih tidak mencukupi berbanding risiko, tanggungjawab dan keadaan kerja yang dihadapi petugas.

“Saya menghargai usaha untuk mengkaji semula elaun tersebut, tetapi RM60 masih tidak setimpal dengan risiko, tanggungjawab dan keadaan kerja yang dihadapi petugas FDS. Justeru, tuntutan saya ialah RM110,” katanya.

Katanya, sejak menjadi Ahli Dewan Negara pada 2023, beliau konsisten membangkitkan isu yang dihadapi warga kesihatan termasuk lantikan kontrak, waktu bekerja 42 jam, keselamatan dan elaun FDS, pendigitalan serta kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun, ujarnya, beberapa isu yang dibangkitkan sepanjang tiga tahun lalu sedang ditangani secara berperingkat di bawah kepimpinan Dzulkefly dan Kerajaan MADANI.

“Banyak lagi inisiatif sedang dirancang. Namun, kita juga perlu memahami realiti birokrasi kerajaan.

“Menteri tidak boleh melaksanakan semua perkara secara serta-merta kerana banyak keputusan memerlukan proses dan kelulusan melibatkan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, agensi berkaitan serta prosedur kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Lingeshwaran mengulangi gesaannya supaya Suruhanjaya Kesihatan diwujudkan bagi memperkukuh tadbir urus dan pengurusan perkhidmatan kesihatan.

Katanya, tuntutan itu telah dikemukakannya sejak hari pertama menjadi Ahli Dewan Negara pada 2023 dan beliau berharap Dzulkefly mengambil peluang untuk merealisasikannya ketika masih memegang portfolio berkenaan.

“Saya sekali lagi menyeru YB Menteri mengambil peluang ini untuk merealisasikannya. Laksanakan ketika masih memegang portfolio ini.

“Jangan tunggu sehingga tidak lagi memegang jawatan, kemudian baru menyatakan bahawa perkara ini sepatutnya telah dilaksanakan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×