Israel agresif perluas penempatan haram - Utusan Malaysia

Israel agresif perluas penempatan haram

PENEMPATAN haram Yahudi yang baharu di seberang kampung Palestin Osrin, Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Meskipun ber­depan tekanan dan sekatan daripada beberapa negara berhubung dasar penempatan ha­ram Yahudi di Tebing Barat, Israel dilihat tidak berganjak apabila terus membuka laluan kepada pembinaan lebih 1,000 unit kediaman baharu di wilayah Palestin yang diduduki itu.

Pihak berkuasa Israel me­netapkan kawasan seluas kira-kira 1.66 kilometer persegi bagi penempatan Keida dan Hadat di tengah Tebing Barat, sekali gus membolehkan proses peranca­ngan pembangunan kedua-dua penempatan itu diteruskan.

Langkah berkenaan diumumkan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich bersama Ketua Majlis Wilayah Binyamin, Yisrael Gantz, yang juga menge­tuai Majlis Yesha, badan payung yang mewakili penempatan Israel di Tebing Barat.

Pihak berkuasa turut melengkapkan penetapan yang dikenali sebagai ‘Garis Biru’ bagi menentukan sempadan tanah berkaitan Keida dan Hadat, yang terletak dalam blok penempatan Shiloh.

Pegawai Israel menyifatkan penetapan itu sebagai langkah penting untuk meneruskan rancangan pembangunan bagi ke­dua-dua penempatan berkenaan, termasuk pembinaan kediaman dan penyediaan infrastruktur ser­ta perkhidmatan awam.

Perkembangan itu berlaku ke­tika Britain meningkatkan tekanan terhadap dasar penempatan Israel dengan menyifatkan pendudukan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

Britain turut mengumumkan sekatan menyeluruh terhadap penempatan Israel, selain melarang pengeluaran lesen eksport senjata dan barangan lain yang secara material menyumbang kepada pendudukan berkenaan.

Perancis dan Kanada pula dijangka mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan Israel, manakala sembilan negara lain turut menandatangani kenyataan bersama Britain yang diterbitkan pada Isnin.

Dalam perkembangan ber­kaitan, keputusan kerajaan Is­rael mengiktiraf Keida dan Hadat sebagai penempatan bebas sebelum ini memboleh­kan pihak berkuasa meneruskan proses perancangan rasmi, termasuk pembangunan in­frastruktur serta pembinaan.

Keida ditubuhkan sebagai pos penempatan pada 2003 sebelum mendapat pengiktirafan rasmi kerajaan Israel sebagai penempatan bebas pada Disember 2025.

Hadat pula bermula sebagai ladang pertanian pada 2001 sebelum berkembang menjadi kawasan penempatan penduduk dan menerima pengiktirafan ras­mi sebagai penempatan bebas pada Mac 2026.

Pihak berkuasa Israel kini menyediakan pelan induk me­nyeluruh pertama bagi ke­dua-dua penempatan itu yang me­rangkumi rancangan pembinaan lebih 1,000 unit kediaman, selain kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Langkah itu dilihat sebahagian daripada usaha lebih meluas Israel untuk mengabsahkan status pos penempatan yang sebelum ini tidak mendapat kebenaran rasmi, selain mempercepatkan pembinaan penempatan di Tebing Barat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×