PETALING JAYA: ‘Baca dulu laporan AFC’
Demikian penegasan calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Shahril Mokhtar kepada pihak yang menafikan kewujudan ‘budaya angguk’ dalam badan induk bola sepak negara tersebut dan meminta mereka supaya meneliti terlebih dahulu dapatan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata, istilah ‘culture of conformity’ yang dibangkitkannya bukan tuduhan yang direka-reka bagi meraih sokongan menjelang pemilihan Presiden FAM, sebaliknya berdasarkan penemuan yang dibentangkan AFC sendiri.
Menurutnya, dakwaan bahawa beliau membuat kenyataan tanpa bukti adalah tidak berasas kerana isu berkenaan sudah disentuh secara jelas dalam Penilaian Tahap Kematangan Keupayaan (CMA) AFC terhadap FAM.
“Saya ada baca yang memetik kenyataan berkenaan budaya angguk atau ‘conformity culture’ di FAM. Kedua-duanya membuat kenyataan bahawa tidak ada budaya angguk dalam FAM.
“Bagi saya, ternyata mereka berdua sama ada tidak baca laporan AFC atau ada agenda lain. Memang ternyata AFC audit penemuan dengan jelas menyebut ada budaya angguk di FAM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Shahril berkata, beliau bersetuju sebarang dakwaan serius perlu disokong bukti, namun dalam isu tersebut bukti berkenaan bukan sahaja wujud, malah datang daripada penilaian badan bola sepak Asia itu sendiri.
“Saya setuju, sebenarnya saya tidak mereka-reka cerita. Saya tidak membuat dakwaan tanpa bukti atau kenyataan. Ini daripada pembentangan AFC sendiri.
“Saya pasti mereka sendiri ada ketika Kongres Luar Biasa itu di mana Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany sendiri membuat kenyataan berkenaan dapatan ‘culture of conformity’ di FAM,” ujarnya.
Pendedahan Vahid ketika membentangkan hasil penilaian CMA AFC itu turut menggambarkan kelemahan lebih besar dalam struktur organisasi FAM, khususnya membabitkan aspek tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan dalaman.
Penilaian berkenaan turut menyentuh budaya kerja yang menyebabkan kakitangan kurang berani menyuarakan atau melaporkan masalah sebelum ia menjadi lebih serius.
Malah, proses membuat keputusan yang dilihat terlalu tertumpu kepada individu tertentu sehingga mengetepikan mandat formal serta saluran pelaporan.
Bagi Shahril, dapatan tersebut tidak wajar dipisahkan daripada perbincangan mengenai keperluan melakukan perubahan dalam FAM, terutama ketika persatuan itu bakal memilih barisan kepimpinan baharu.
“Jadi bila bercakap itu selidik dulu. Saya tidak membuat dakwaan tanpa bukti. Ini adalah dapatan daripada AFC sendiri.
“Bukan saya mereka-reka cerita atau membuat tuduhan kepada sesiapa. Kalau nak bercakap tentang perkara ini, tengok dulu audit daripada AFC,” jelasnya.
Dapatan CMA AFC sebelum ini menunjukkan kebanyakan jabatan FAM berada pada Tahap 2 atau Prapertengahan dengan skor antara 1.2 hingga 1.8 daripada skala lima tahap kematangan organisasi manakala hanya bahagian Komunikasi dan Media mencapai Tahap 3 dengan skor 2.0. – UTUSAN










