PH tidak pernah pertikai kuasa institusi diraja – Amirudin

PH tidak pernah pertikai kuasa institusi diraja – Amirudin

AMIRUDIN Shaari ditemui selepas sesi libat urus Belanjawan Negeri Selangor di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mempertikai kuasa institusi diraja dalam soal pengampunan, kata Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin menegaskan, PH memahami bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa serta autoriti penuh dalam perkara berkenaan.

“Tak ada pertikaian yang kita bangkitkan, ialah pandangan bahawa kita faham bahawa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai wewenang dan autoriti penuh untuk memberikan pengampunan.

“Ia memang telah diperakui dan tak pernah disentuh. Proses berkaitan pengampunan yang dikatakan akan berlangsung juga tidak dihalang oleh mana-mana pihak.

“Saya rasa tak ada masalah. Sebab itu sidang pengampunan yang dikatakan akan berlangsung tidak dihalang. Cuma mungkin ada pandangan. Itu saja. Kita pun sedar sangat dengan wewenang itu,” katanya ketika ditemui selepaas sesi libat urus Belanjawan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan dibuat Setiusaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa PH cuba meremehkan dan mempertikai institusi Raja Melayu demi kepentingan politik.

Media hari ini melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadual mengadakan mesyuaratnya kira-kira pukul 8.30 pagi esok dan disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan beliau mengakui pihaknya telah dipanggil untuk hadir ke mesyuarat itu esok.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, pandangan akar umbi DAP yang meminta ahli Parlimen parti itu meletakkan jawatan menteri sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak diberi pengampunan perlu dihormati.

“Perkara itu saya rasa telah dibincangkan dengan mendalam. Itu mungkin pandangan akar umbi yang kita harus hormati. Dan ada maslahat, ataupun ada keutamaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemimpin DAP Kuala Lumpur menggesa anggota parti itu dalam Jemaah Menteri meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri itu diberi pengampunan Diraja.

Sementara itu, Amirudin berkata, PH perlu terus melaksanakan amanah yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya lalu, khususnya dalam tempoh kira-kira setahun yang masih berbaki.

Katanya, PH sebagai gabungan yang memperoleh jumlah sokongan tertinggi dalam pilihan raya lalu mempunyai tanggungjawab untuk terus mengemudi kerajaan dan memastikan kestabilan pentadbiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×