KUALA LUMPUR: Liputan rangkaian di kawasan berpenduduk di Malaysia mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai 2026, manakala pembangunan rangkaian 5G negara kini menghampiri 90 peratus.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperkukuh asas infrastruktur digital negara bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
Katanya, pembangunan infrastruktur digital yang kukuh penting bagi memastikan perkhidmatan serta industri masa depan dapat berkembang, selain membolehkan rakyat dan institusi memanfaatkan teknologi dengan lebih meluas.
“Pembangunan 5G kami yang berterusan telah mencapai hampir 90 peratus di kawasan tersebut,” katanya dalam ucapan perasmian M360 ASEAN, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi kini sedang membangunkan Polisi Infrastruktur Digital Nasional bagi menyediakan perancangan jangka panjang yang lebih koheren dan menyeluruh berhubung pembangunan infrastruktur digital negara.
“Polisi berkenaan akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang mampu menyokong keperluan perkhidmatan dan industri pada masa hadapan.
“Namun, infrastruktur hanya penting apabila ia membolehkan orang ramai dan institusi melakukan lebih banyak perkara,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan infrastruktur digital bukan sekadar soal meningkatkan tahap kesalinghubungan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi dan sosial yang lebih luas.
Tambahnya, akses kepada rangkaian digital yang lebih meluas dapat membantu meningkatkan penyertaan rakyat dalam ekonomi digital, selain membuka ruang kepada perniagaan dan industri untuk memperluas penggunaan teknologi serta perkhidmatan digital. – UTUSAN










