KUALA LUMPUR: Laporan awal berhubung nahas helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Pendaratan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, laporan penuh nahas itu pula dijangka diterbitkan dalam tempoh setahun.
Katanya, tempoh berkenaan adalah berdasarkan Lampiran 13 (Annex 13) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menggariskan tatacara siasatan kemalangan dan insiden penerbangan.
“Jika merujuk kepada Annex 13, laporan awal akan dikeluarkan 30 hari selepas kemalangan. Itu adalah tempoh standard. Laporan penuh pula akan dikeluarkan setahun selepas kemalangan,” katanya semasa sidang akhbar di Malaysia Aviation Safety Seminar 2026 (MASS ’26), di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, semakan terhadap rekod terdahulu berkaitan pengendali pesawat masih perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat sama ada terdapat sebarang rekod penglibatan dalam kemalangan sebelum ini.
Menurutnya, maklumat berhubung rekod berkenaan belum tersedia pada ketika ini dan pihaknya akan membuat semakan lanjut terhadap rekod berkaitan.
“Saya tidak mempunyai maklumat itu pada masa ini, tetapi kami boleh mendapatkan jawapannya selepas membuat semakan terhadap rekod,” jelasnya.
Katanya, siasatan kemalangan akan dijalankan berdasarkan bukti dan maklumat yang dikumpulkan bagi menentukan keadaan kejadian, faktor penyumbang serta punca sebenar kemalangan.
“Sebarang kesimpulan mengenai punca kemalangan hanya akan dapat dibuat selepas proses siasatan dan pemeriksaan terhadap semua bukti selesai dijalankan,” katanya. – UTUSAN










