Kibar Jalur Gemilang bukti patriotisme

Kibar Jalur Gemilang bukti patriotisme

JALUR Gemilang menjadi simbol perpaduan rakyat dalam menghayati erti kemerdekaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA tiba bulan kebangsaan, Jalur Gemilang mula menghiasi pelosok negara, menjadi lambang semangat patriotisme yang kembali menyatukan rakyat. Lagu-lagu patriotik berkumandang di corong-corong radio, program dan ceramah berunsur kenegaraan dianjurkan di sekolah-sekolah dan dalam kalangan masyarakat.

Pemandangan ini boleh dilihat sehinggalah kita menyambut Hari Malaysia. Sambutan kemerdekaan seharusnya membawa kita merenung kembali satu persoalan yang lebih besar, iaitu apakah makna menjadi rakyat sebuah negara yang merdeka?

Kemerdekaan bukan sekadar membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Merdekanya sesebuah negara sebenarnya suatu amanah untuk membina serta mengekalkan sebuah negara yang berdaulat, aman, sejahtera dan dihuni oleh masyarakat yang saling hormat-menghormati. 

Dalam konteks Malaysia pada hari ini, semangat tersebut perlu terus diperkukuh dengan nilai-nilai madani yang menekankan pembangunan negara secara seimbang, bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi juga dari sudut akhlak, keamanan dan semangat kebersamaan.

Mengibarkan Jalur Gemilang atau menyertai perarakan kemerdekaan adalah tanda kecintaan dan semangat patriotisme. Namun, seharusnya ia tidak terhenti di situ. Patriotisme perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui sikap bertanggungjawab, menghormati sesama manusia, menjaga keharmonian dalam hidup bermasyarakat dan melaksanakan setiap amanah dengan penuh integriti.  

Inilah antara wajah patriotisme yang perlu dibentuk dalam sebuah negara yang ingin terus bergerak maju di persada dunia.

 

PATRIOTISME BUKAN SEKADAR SIMBOL 

Keistimewaan Malaysia sejak sekian lama terletak pada kepelbagaian masyarakatnya.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar kehidupan. Kepelbagaian ini merupakan suatu keunikan yang perlu diraikan, bukannya titik tolak kepada konflik antara kaum atau rasisme.

Justeru, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui nilai hormat-menghormati, iaitu kesediaan untuk menerima perbezaan dan mengiktiraf hak setiap anggota masyarakat untuk hidup secara aman.

Dalam masyarakat yang semakin didedahkan dengan media sosial, nilai hormat menjadi semakin penting. Perbezaan pandangan boleh berlaku pada bila-bila masa, namun perbezaan tersebut tidak seharusnya membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat. 

Sebaliknya, masyarakat yang matang ialah masyarakat yang mampu berbeza pendapat tanpa menghilangkan rasa hormat dan kemanusiaan. Semangat patriotisme pada era digital masa kini pula menuntut rakyat agar lebih bertanggungjawab ketika menerima dan menyebarkan maklumat. 

Menyemak kesahihan berita demi mengelakkan fitnah serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat adalah sebahagian daripada tanggungjawab kepada negara.

Pada masa sama, semangat patriotisme perlu disuburkan melalui nilai ihsan.

Kemerdekaan tidak akan memberi makna sekiranya pembangunan negara hanya dinikmati oleh hanya sebahagian masyarakat. Melaksanakan tanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan atau zakat melalui agensi-agensi yang dilantik pihak pemerintah boleh mengimbangi jurang ekonomi dalam masyarakat.

Nilai ihsan juga mengingatkan kita pembangunan negara adalah tanggungjawab bersama. Di pihak rakyat, setiap individu mempunyai peranannya yang tersendiri. 

Sebagaimana seorang guru perlu mendidik dengan amanah, penjawat awam memberikan perkhidmatan dengan integriti, pekerja melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, masyarakat pula memainkan peranan melalui aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Setiap sumbangan yang diberikan, walaupun kecil, merupakan sebahagian daripada usaha membina negara.

Generasi muda pula merupakan kelompok yang akan mewarisi negara merdeka. Oleh itu, pendidikan patriotisme tidak seharusnya hanya menekankan tarikh dan fakta sejarah tetapi perlu membentuk jiwa yang sentiasa menghargai negara. 

Generasi muda perlu memahami  kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada penat lelah, keringat serta darah dan air mata generasi terdahulu. Tanpa menafikan peranan yang akan terus dimainkan oleh generasi muda, kesinambungan ini adalah lambang rasa reda dan syukur kepada Allah SWT pada setiap pengalaman dan era yang ditempuhi oleh setiap generasi.

Semangat ini selari dengan gagasan masyarakat madani yang menuntut rakyat bukan sekadar menjadi penerima pembangunan, tetapi turut menjadi warganegara yang berdaya cipta, bertanggungjawab dan mempunyai rasa kepunyaan terhadap negara. 

Dalam erti kata lain, kemerdekaan perlu melahirkan rakyat yang mempunyai kebebasan berfikir, pada masa masa sama berpegang pada nilai, beraspirasi untuk maju tetapi tidak meninggalkan kemanusiaan.

Lebih penting lagi, kemerdekaan perlu disertai dengan amanah dan integriti. Negara yang kuat tidak hanya bergantung pada kemajuan ekonomi dan kecanggihan teknologi tetapi turut bergantung pada nilai moral masyarakatnya. 

Rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan dan sikap mementingkan diri boleh melemahkan negara. Watak-watak seperti Si Kitul atau Raja Mendaliar yang wujud pada zaman Kesultanan Melayu Melaka perlu menjadi pengajaran bahawa kerakusan, pengkhianatan dan kepentingan diri boleh membawa kerosakan bukan sahaja kepada individu, malah kepada masyarakat dan negara. 

Oleh itu, mempertahankan kemerdekaan pada hari ini juga bermaksud mempertahankan nilai-nilai yang membolehkan negara terus berdiri dengan bermaruah.

Akhirnya, patriotisme dalam kerangka Malaysia Madani bukan sekadar tentang kecintaan kepada tanah air yang dizahirkan melalui simbol dan sambutan. Patriotisme ialah kesanggupan untuk menjaga apa yang telah diwariskan, memperbaiki apa yang masih kurang dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi seterusnya.

Oleh itu, marilah kita menghayati kemerdekaan dengan jiwa yang lebih matang. Kibarkanlah Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada negara, sebagaimana kibaran itu dicerminkan melalui sikap kita terhadap sesama manusia. 

Hayatilah semangat kemerdekaan melalui perpaduan, hormat-menghormati, ihsan, integriti dan bertanggungjawab. 

Sesungguhnya, negara yang benar-benar merdeka bukan sekadar negara yang bebas daripada penjajahan tetapi negara yang rakyatnya bersatu dalam kepelbagaian, maju dalam pembangunan dan tinggi nilai kemanusiaannya. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×