PETALING JAYA: Pelakon, Janna Nick berpandangan kehilangan sebuah persahabatan boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kehidupan seseorang individu.
Menurut Janna atau Nurul Jannah Muner, situasi itu juga secara tidak langsung mampu meruntuhkan kepercayaan seseorang terhadap individu lain apatah lagi apabila persahabatan itu akhirnya dibalas dengan pengkhianatan.
“Perpisahan yang paling menyakitkan adalah putus persahabatan. Jangan sangkal!
“Orang yang kita anggap sebagai sahabat, tempat kita berkongsi pelbagai perkara dan seseorang yang kita berikan sepenuh kepercayaan, akhirnya menjadi orang yang mengkhianati kita.
“Selepas itu, terus rasa trauma untuk mempercayai orang lain,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam masa sama, Janna turut menitipkan pesanan agar seseorang tidak mengambil mudah terhadap kehadiran sahabat yang ikhlas dalam kehidupan, selain berpendapat hubungan itu memerlukan usaha dan komitmen daripada kedua-dua pihak.
“Kalau kalian ada sahabat yang ikhlas berkawan, yang sentiasa berkongsi kebaikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, jangan lupa untuk saling memberi dan menerima juga.
“Sebab persahabatan juga memerlukan usaha daripada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Bagaimanapun, Janna tidak memperincikan individu atau pengalaman tertentu yang mendorongnya berkongsi luahan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah dihujani pelbagai respons dari warganet yang rata-ratanya sependapat dengan pelakon itu.









