KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu berkaitan kadar sewaan harian (Daily Charter Rate).
Mengikut pertuduhan pertama, Azmi, 67, didakwa secara tidak jujur menyembunyikan tawaran sebenar kadar sewaan harian berjumlah RM80,500 sehari.
Perbuatan itu sehingga mendorong Principal Officer Lembaga Tabung Haji (TH) Alam Management Sdn. Bhd., Iskandar Mohd Zaffa bersetuju menandatangani BIMCO Supplytime 2017 pada kadar RM70,000 sehari.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Sri Petaling di sini, 6 September 2023.
Bagi pertuduhan kedua, Azmi didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap individu sama membabitkan kadar sewaan harian RM110,000 berbanding RM78,000 sehari di lokasi sama, 16 Januari 2024.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berita lanjut akan menyusul. – UTUSAN










