UMNO perlu strategi berbeza ikut kawasan

UMNO perlu strategi berbeza ikut kawasan

MOHAMAD Hasan berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu menggunakan strategi berbeza mengikut kawasan yang ditandingi berikutan perubahan dan kerumitan landskap politik negara ketika ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada satu pendekatan menyeluruh yang boleh digunakan parti itu bagi menghadapi semua keadaan politik, khususnya berdasarkan perkembangan dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) terakhir.

“Persada politik Malaysia telah sangat terganggu, rumit dan tidak menentu. Semuanya telah menjadi semakin kacau dan sangat bercelaru.

“Tiada kemenangan yang boleh menjadi petunjuk mutlak, tentang masa depan UMNO, dalam politik Malaysia di masa akan datang.

“Semuanya bergantung kepada strategi unik, di setiap daerah politik yang UMNO bertanding. Tiada juga strategi menyeluruh untuk semua keadaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO, di sini hari ini.

Tambah Mohamad, dinamik politik daripada tiga PRN terakhir memberikan beberapa petunjuk penting yang perlu diteliti UMNO dalam merangka strategi politiknya.

“Dinamik politik daripada tiga PRN terakhir memberikan beberapa petunjuk penting mengenai hala tuju politik negara, termasuk wujudnya perbezaan ketara antara Sabah dengan kedua-dua negeri berkenaan.

“Telah muncul tanda-tanda pemulihan kepercayaan, kepada UMNO dan Barisan Nasional. Tetapi di Sabah, UMNO nampaknya semakin tersingkir dan terpencil.

“Telah juga terjelma, di Johor dan Negeri Sembilan, keinginan bangsa Melayu ke arah kesatuan dan perpaduan. Namun di Sabah, keutamaan pengundi ialah kepentingan Sabah untuk Sabah,” katanya

Beliau berkata, kecenderungan generasi muda juga berbeza mengikut negeri apabila kepercayaan terhadap UMNO dilihat kembali muncul di Johor dan Negeri Sembilan, sedangkan golongan muda di Sabah lebih menggemari jenama politik baharu yang memperjuangkan kepentingan tempatan.

“Telah terbit dinamik kepercayaan terhadap UMNO dalam kalangan generasi muda di Johor dan Negeri Sembilan.

“Di Sabah pula, generasi muda gemarkan jenama baharu yang memperjuangkan kepentingan lokal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×