Pemain perlu realistik - Rexy

Pemain perlu realistik – Rexy

Mohamad Azlan Iskandar (tengah) bersama skuad badminton negara yang akan membawa cabaran Sukan Asia Aichi Nagoya 2026 di Akademi Badminton Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan sasaran pingat perak dan gangsa lebih realistik berbanding emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya Jepun 2026.

Beliau berkata, selaku jurulatih, hanya beliau yang lebih mengetahui prestasi semasa anak-anak buahnya dan lebih selesa sasaran itu berpijak di bumi.

“Fokus kita adalah untuk meraih pingat perak. Saya tahu di sini ada yang mahu kita memenangi pingat emas. Walaupun jauh di sudut hati, saya percaya bahawa pemain saya mampu lakukan lebih daripada itu, tapi kita perlu realistik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menerima kunjungan daripada Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, Mohamad Azlan Iskandar ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, dekat sini, bagi meninjau persiapan skuad kebangsaan.

Rexy mengakui Malaysia telah lama tidak memenangi pingat emas selepas kali terakhir Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berbuat demikian pada Sukan Asia 2006 di Doha tetapi setiap sasaran yang dibuat biarlah mampu dicapai para pemainnya.

Beliau memberitahu, beregu lelaki No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani berada di landasan terbaik untuk membawa pulang pingat perak buat Malaysia tetapi dalam masa sama, ia tidak bererti pihaknya mengetepikan peluang yang mampu diraih satu lagi pasangan, Aaron Chia-Tee Kai Wun.

“Cuma Aaron-Kai Wun yang merupakan beregu pecah ganding, maka mereka berisiko mendapat undian yang sukar berbanding Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pasangan pilihan.

“Jadi, kita harus melihat (kedudukan mereka) apabila undian dikeluarkan nanti. Begitu juga dengan beregu wanita, Pearly-Thinaah yang telah terkeluar dalam kelompok empat terbaik. Prestasi mereka juga kurang baik sewaktu di Kejuaraan Dunia dan China Masters.

“Untuk beregu campuran, tanpa Toh Ee Wei yang cedera, Chen Tang Jie dipasangkan dengan Cheng Su Yin. Tapi kita tidak hilang motivasi, sasaran kita satu perak dan satu gangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin ketika ditemui pemberita dalam nada yakin mahu membawa pulang pingat emas, walaupun, menyedari cabaran yang bakal mereka terima sangat sengit.

“Saya rasa kami ada peluang yang baik, walaupun ramai lawan yang kuat akan beraksi pada Sukan Asia, tetapi, kami sasarkan yang paling tinggi,” kata Izzuddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×