10,000 pekerja kembali sertai Skim LINDUNG 24 Jam Perkeso

10,000 pekerja kembali sertai Skim LINDUNG 24 Jam Perkeso

Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) pada sidang akhbar pengumuman 8.5 juta pekerja kekal carum Lindung 24 Jam bagi perlindungan selepas waktu kerja di Menara PERKESO Jalan Ampang semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 9,000 hingga 10,000 pekerja yang pada peringkat awal memilih untuk tidak mencarum dalam Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) kembali menyertai skim berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, perkembangan itu direkodkan selepas pekerja diberi pilihan untuk kembali mencarum meskipun sebelum ini memilih keluar dari­pada skim berkenaan.

Katanya, Perkeso akan te­rus memberi penerangan dan mening­katkan kesedaran dalam kalangan 12.4 peratus pekerja yang memilih keluar supaya mereka mempertimbangkan untuk kembali menyertai Lin­dung 24 Jam.

“Walaupun 12.4 peratus opt-out, kita akan berusaha untuk memberi taklimat dan keseda­ran kepada mereka untuk opt-in.

“Kira-kira 9,000 hingga 10,000 yang pada peringkat awal opt-out telah kembali semula,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Perkeso di sini semalam.

Mohammed Azman berkata, pekerja yang telah memilih keluar sebelum tempoh berkenaan berakhir pada 31 Ogos lalu masih boleh kembali mencarum pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja tidak lagi dibenarkan memilih keluar daripada Lin­dung 24 Jam selepas tempoh kelonggaran untuk berbuat demikian berakhir pada 31 Ogos lalu.

Katanya, tempoh opt-out tidak akan dibuka semula ke­rana tindakan itu boleh me­nimbulkan kekeliruan terhadap sistem sumber manusia majikan serta sistem Perkeso.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih untuk kekal mencarum dalam Lin­dung 24 Jam.

Daripada pekerja yang memilih keluar, sebanyak 52 peratus bergaji bawah RM3,500, manakala baki 48 peratus me­nerima gaji RM3,500 ke atas.

Mengikut pecahan negeri pula, Selangor, Kuala Lumpur dan Put­rajaya merekodkan peratusan tertinggi pekerja yang memilih keluar iaitu 53 peratus, diikuti Johor (11 peratus), Pulau Pinang (sembilan peratus) serta negeri-negeri lain sebanyak 27 peratus.

Mohammed Azman berkata, beliau bimbang apabila lebih separuh daripada pekerja yang memilih keluar terdiri daripada golongan bergaji bawah RM3,500 yang memerlukan perlindungan keselamatan sosial.

“Kami berharap mereka akan memikirkan semula dan mempertimbangkan kepentingan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau hilang upaya sehingga tidak mampu bekerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 6,330 tuntutan diterima setakat 31 Ogos lalu dengan jumlah bayaran faedah mencecah RM9.97 juta, manakala purata tuntutan diterima kira-kira 69 kes sehari.

Katanya, 74 peratus pekerja yang membuat tuntutan bergaji bawah RM3,500, dengan majo­ritinya terdiri daripada golo­ngan berpendapatan rendah dan pe­kerja muda.

“Majoriti yang membuat tuntutan adalah golongan berpendapatan rendah dan golongan muda. Ini adalah data yang kita ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×