Azeez Rahim pakai baju lokap, bergari atas kehendak sendiri

Azeez Rahim pakai baju lokap, bergari atas kehendak sendiri

ABDUL Azeez Abdul Rahim yang berpakaian lokap polis berwarna ungu ketika dibawa bagi pengurusan ikat jamin terhadap pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pemakaian baju lokap ungu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan bergari melibatkan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim ketika hadir pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur adalah atas kehendaknya sendiri.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, sebelum dibawa ke mahkamah, beliau telah dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi beliau dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan.

“SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak khususnya SPRM. 

“Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya yang membabitkan isu ini,” kata kenyataan itu.

Pada 4 September lalu, SPRM menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×