SERDANG: Pelakon dan Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim mahu filem terbaharunya, Last Dive, menjadi platform menyampaikan mesej pemuliharaan alam sekitar, khususnya mengenai ancaman terhadap ekosistem marin.
Sandra berkata, penglibatannya dalam filem berkenaan membuka matanya mengenai kepentingan menjaga kelestarian laut selain menyedarkannya mengenai ancaman terhadap hidupan marin.
“Sebagai generasi muda, saya berharap masyarakat kita lebih sedar mengenai isu yang berlaku di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa.
“Menerusi setiap naskhah dan platform yang saya miliki, saya sentiasa mahu membawa mesej positif kepada masyarakat,” katanya.
Sandra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen ‘Pukat Hantu: Ancaman Senyap Hidupan Marin’ dan treler Last Dive sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin; Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain; Penerbit Eksekutif Produksi Seni 2020, Datin Dr. Wendy Wong serta penerbit, Datuk Nancie Foo.
Menurut Sandra yang turut membintangi Gayong 2 dan The Furious, setiap platform yang dimilikinya seboleh-bolehnya akan dimanfaatkan untuk membawa mesej positif kepada masyarakat.
“Saya sentiasa fikir dalam setiap kempen, filem dan setiap kerja yang saya lakukan, saya mahu membawa mesej positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Last Dive mengisahkan Faiz, bekas pemain bola sepak yang lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan, manakala Amelia ialah jurulatih selam skuba yang membantu golongan orang kurang upaya (OKU) meneroka dunia bawah laut.
Jalan cerita filem itu kemudiannya berkembang kepada pendedahan mengenai kegiatan yang mengancam ekosistem marin.
Selain Sandra, filem yang dijadualkan menemui penonton pada Disember ini turut menampilkan Shiqin Kamal, Aniq Duraf, Fify Azmi dan Amerul Affendi.
Filem berkenaan turut menampilkan penampilan istimewa Datuk Dr. Ras Adiba Mohd. Radzi dan Fauziah Latiff.
Bagi Sandra, Last Dive mempunyai kekuatan tersendiri kerana bukan sahaja mengetengahkan kisah dunia bawah laut, malah mengajak penonton memahami kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Sementara itu, Chan Foong Hin berkata, kempen ‘Pukat Hantu: Ancaman Senyap Hidupan Marin’ dilancarkan buat julung kalinya bersama treler Last Dive.
Beliau berkata, pemilihan isu pemuliharaan laut menerusi filem berkenaan amat bertepatan dengan tanggungjawab dan peranan Jabatan Perikanan Malaysia dalam memastikan kelestarian sumber perikanan negara.
Katanya, antara isu yang diberi perhatian ialah ancaman ‘ghost net’ atau pukat hantu, iaitu peralatan menangkap ikan yang ditinggalkan, hilang atau dibuang di laut sehingga terus memerangkap hidupan marin.
“Apabila ikan terperangkap dalam ‘ghost net’, ia bukan sahaja memberi kesan kepada sumber perikanan, malah boleh menimbulkan cabaran besar terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar, khususnya ekosistem laut,” katanya.
Menurut beliau, kempen berkenaan merupakan inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman pukat yang terbiar terhadap ekosistem lautan di Malaysia.
Katanya, Jabatan Perikanan Malaysia turut melaksanakan program kesedaran dan operasi pembersihan pukat hantu secara berterusan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengusaha pelancongan, nelayan dan komuniti tempatan.
“Hasil usaha yang dilaksanakan secara berterusan, sebanyak 23,658 kilogram pukat hantu berjaya dibawa keluar dari perairan Malaysia dalam tempoh lima tahun, dari 2022 hingga 2026.
“Jumlah itu membabitkan operasi pembersihan di perairan perikanan Malaysia, terutama di kawasan pulau dan taman laut.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kelestarian hidupan serta ekosistem marin negara terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.










