KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menjadi penyanyi dengan pencalonan terbanyak di Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dengan membolosi 14 kategori.
Pada usia 47 tahun, Siti tercalon dalam kategori Vokal Wanita Terbaik, tiga pencalonan di kategori Kolaborasi Artis/ Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/ Penulis Lagu Luar Negara Terbaik dan empat karya di kategori Lagu Tradisional Terbaik.
Menerusi lagu Kesuma dari album Gema Bumantara, Siti tercalon dalam kategori Album Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Perayaan Terbaik.
Selebihnya, Siti membolosi lima terbaik menerusi dua kategori lain iaitu Rakaman Album Terbaik serta dua buah naskhah di kategori Rakaman Lagu Terbaik.
Walaupun baru pertama kali tercalon untuk anugerah AIM25, Aisha Retno boleh tersenyum manis apabila berjaya membolosi lapan kategori iaitu Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Pop Elektronik/ Dance Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan, Album Terbaik dan Lagu Tradisional Terbaik.
Sementara dua kategori lain, Aisha tercalon sebagai penulis lagu menerusi Kesuma yang dinyanyikan Siti Nurhaliza menerusi Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.
Bagi edisi kali ini Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sebagai penganjur menerima sebanyak 600 pencalonan merangkumi karya rakaman yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Sebanyak 135 calon kini telah disenarai pendek merentasi 32 kategori anugerah, mewakili gabungan pelbagai nama terkenal, bakat baharu, artis bebas, pencipta lagu, penerbit serta penggiat industri muzik dari seluruh Malaysia.
Calon 5 Akhir telah dipilih menerusi proses penjurian yang menyeluruh oleh barisan panel pengamal dan pakar industri muzik yang berkelayakan tinggi daripada pelbagai disiplin, diketuai oleh Ketua Juri, Ajai.
Markah penjurian telah dikumpulkan dan diaudit secara bebas bagi memastikan integriti, ketelusan dan kredibiliti proses penjurian.
Malam kemuncak AIM25 berlangsung secara langsung dari Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 26 September depan. -UTUSAN










