PUTRAJAYA: Malaysia menghantar pasukan pakar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ke Nepal bagi membantu proses pengecaman mangsa rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana di negara itu.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pasukan berkenaan akan membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti mangsa melalui analisis dan padanan DNA.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai penghantaran pasukan pakar DNA dari Malaysia ke Nepal untuk membantu proses pengecaman mangsa-mangsa dari Malaysia akibat bencana di negara tersebut,” katanya.
Katanya, sebarang maklumat lanjut mengenai operasi tersebut boleh dirujuk kepada Kementerian Luar yang menyelaras urusan melibatkan rakyat Malaysia di luar negara.
Fahmi berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan dan nasib rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana di luar negara terus diberi perhatian.
Setakat ini, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia. – UTUSAN










