PNB terbit sukuk boleh tukar kedua bernilai AS$300 juta - Utusan Malaysia

PNB terbit sukuk boleh tukar kedua bernilai AS$300 juta

RIZAL RICKMAN RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan Sukuk Boleh Tukar Bercagar kedua bernilai AS$300 juta (RM1.22 bilion), selaras objektif Peruntukan Aset Strategik PNB serta tumpuannya untuk meningkatkan pulangan jangka panjang.

Tawaran itu dilaksanakan menerusi Mekar Capital II Ltd., sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan sebagai penerbit, manakala Mekar Capital I Ltd. bertindak sebagai obligor bagi transaksi berkenaan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, penerbitan sukuk itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan Pelan Strategik LEAP-6 sehingga 2027.

“Ia terus menjadi teras kepada usaha kami untuk memperkukuh pulangan jangka panjang dan membina daya tahan portfolio.

“Seiring pelaksanaan LEAP-6, PNB akan terus memperluas portfolio pelaburannya merentasi pelbagai geografi dan kelas aset, termasuk sukuk global, bagi memastikan pulangan kami disokong oleh pelbagai sumber dan tidak bergantung kepada satu pasaran sahaja.

“Walaupun kami terus mengekalkan pelaburan domestik, kami akan terus berinovasi dalam mengoptimumkan portfolio, selaras strategi jangka panjang untuk menjana pulangan mampan, berteraskan pengurusan risiko yang berhemat,” katanya dalam kenyataan.

Tawaran kedua itu menyusuli penerbitan sulung Sukuk Boleh Tukar Bercagar bernilai AS$300 juta oleh PNB pada Januari 2026, mencerminkan komitmen berterusan PNB mengoptimumkan portfolionya menerusi penyelesaian pasaran modal inovatif.

Selain itu, Sukuk Boleh Tukar berkenaan mempunyai tempoh matang lima tahun, dengan pilihan jualan (put option) kepada pelabur yang boleh dilaksanakan pada akhir tahun ketiga.

Beliau berkata, kualiti kredit Sukuk Boleh Tukar berkenaan disokong oleh pengaturan cagaran yang memihak kepada pemegang sukuk, terdiri daripada Saham Asas serta aset sukuk global berdenominasi dolar AS.

Ujarnya, sukuk itu turut mendapat sambutan positif daripada pelabur instrumen berkaitan ekuiti, termasuk pelabur jangka panjang dan pelabur pelbagai strategi dari Asia dan Eropah.

“Permintaan kukuh itu membolehkan Sukuk Boleh Tukar diterbitkan pada kadar keuntungan menarik sebanyak 1.50 peratus, dengan premium pertukaran sebanyak 10 peratus.

“Tawaran ini dijangka terus memperkukuh pasaran instrumen boleh tukar berkaitan Malaysia serta menyokong pembangunan berterusan pasaran sukuk domestik dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pembiayaan patuh Syariah,” katanya.

BNP Paribas, J.P. Morgan dan Maybank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama dan Pengurus Buku Bersama bagi transaksi berkenaan, manakala Maybank Islamic bertindak sebagai Penasihat Syariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×