KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat mengemukakan semula cadangan penubuhan sebuah kementerian yang khusus bagi pasukan keselamatan itu demi memantapkan mutu perkhidmatan, memperkasakan kebajikan warga polis, serta memodenkan aset logistiknya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata langkah penubuhan kementerian khusus itu disifatkan wajar memandangkan PDRM adalah sebuah agensi penguatkuasaan gergasi yang menguruskan kekuatan keanggotaan yang sangat besar.
Beliau berkata, pasukan keselamatan negara itu kini disokong lebih 137,000 warga kerja merangkumi pegawai, anggota dan kakitangan awam satu saiz keanggotaan yang setara dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
“Kita melihat bahawa organisasi PDRM ini adalah sebuah agensi yang besar dengan lebih kurang 137,000 pegawai dan anggota serta kakitangan awam.
“Sudah sampai masanya kita membuka ruang dan peluang kepada PDRM ini berdiri sebagai sebuah kementerian, sebagaimana perbandingan kita dengan Kementerian Pertahanan yang juga mempunyai kekuatan dan keanggotaan yang seimbang, iaitu sama jumlahnya.
“Jadi dengan mewujudkan sebuah Kementerian Keselamatan ini, saya percaya ia menjadi titik permulaan untuk kita memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, kelmarin.
Selesai isu kritikal
Terdahulu, Mohd Khalid hadir merasmikan Program Kolaborasi Komunikasi Strategik PDRM dan Media Prima.
Mengulas lanjut mengenai implikasi kewujudan kementerian berkenaan, Mohd Khalid berkata, penubuhan struktur kementerian berasingan akan membolehkan isu kritikal yang membelenggu warga polis selama ini terutama penambahbaikan fasiliti, aset logistik, perumahan dan kebajikan dapat ditangani dengan lebih berkesan dan fokus.
“Isu ini pernah diangkat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin (Husain) tahun lalu.
“Mungkin inilah ruang dan peluang juga untuk PDRM mengangkat semula isu ini supaya perhatian dari sudut logistik, kebajikan, dan sebagainya dapat ditangani dengan lebih baik dan sempurna di masa-masa hadapan,” katanya.
Ditanya sama ada cadangan penubuhan kementerian khusus itu sudah dibincangkan bersama KDN, Mohd Khalid mengesahkan bahawa perbincangan awal pernah dijalankan dan beliau komited membawa semula syor berkenaan kepada kerajaan.
“Pada tahun lalu kita bincang dan bawa kepada kementerian (KDN), dan mungkin ini ada ruang dan peluang untuk saya mengemukakan cadangan ini untuk diangkat semula.
“Setakat ini, maklum balas adalah positif dan kita memerlukan kebenaran ataupun persetujuan daripada pihak kerajaan jugalah, kerana saya percaya perkara sebegini memerlukan penelitian yang lebih telus bagi kesempurnaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd










