NEW YORK: Impian Noah Lyles untuk meraih pingat pada edisi sulung Kejohanan Ultimate Olahraga Dunia tidak kesampaian apabila juara Olimpik itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan hamstring yang turut mengundang komplikasi lain dalam proses pemulihannya.
Ketiadaan pelari sensasi Amerika Syarikat (AS) itu memberi tamparan kepada kejohanan berprestij berkenaan yang bakal berlangsung di Budapest, Hungary bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Lyles, yang memenangi pingat emas acara 100 meter (m) pada Olimpik Paris 2024, sepatutnya menjadi antara tarikan utama kejohanan tersebut selepas mencatat masa terpantas dunia tahun ini, iaitu 9.79 saat pada Kejohanan Kebangsaan AS.
Selain memburu kemenangan, pelari berusia 29 tahun itu juga berpeluang merebut hadiah wang tunai AS$150,000 (RM606,000) bagi setiap acara pecut yang disertainya dalam kejohanan yang menawarkan keseluruhan hadiah berjumlah AS$10 juta (RM40.4 juta).
Kejohanan Ultimate Olahraga Dunia diperkenalkan sebagai platform elit yang menghimpunkan atlet terbaik dunia di antara kitaran Olimpik, dengan hanya 16 peserta dipilih bagi setiap acara balapan, lapan peserta untuk acara padang dan lapan pasukan dalam acara berganti-ganti.
Bagaimanapun, Lyles mengesahkan ketidakhadirannya menerusi hantaran di platform X selepas mengalami kecederaan hamstring kiri ketika beraksi dalam final 200m Kejohanan Kebangsaan AS pada Julai lalu.
“Ia agak sukar. Kami menyangka ia sesuatu yang sangat mudah tetapi selepas beraksi di Kejohanan AS, saya mendapat tahu saya mengalami kecederaan kecil.
“Ia tidak begitu serius dan proses pemulihan yang kami rancang berjalan dengan sangat baik.
“Malangnya, kecederaan itu menyebabkan beberapa masalah lain kembali muncul dan ia menyukarkan saya untuk meneruskan latihan dan menyertai kejohanan itu,” kata Lyles.
Penarikan diri tersebut menyaksikan pemegang beberapa gelaran dunia itu terpaksa menangguhkan penampilan kompetitifnya, sekali gus memberi peluang kepada pencabar lain untuk menyerlah pada kejohanan yang dijangka menjadi antara acara terbesar olahraga dunia di luar Olimpik dan Kejohanan Dunia. – AGENSI










