‘Kalau ada kerjasama biarlah dengan Pas’

‘Kalau ada kerjasama biarlah dengan Pas’

SAIFUL FARIDDIL JASMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda UMNO Perlis mahu sebarang kerjasama atau penyatuan ummah hanya me­libatkan UMNO dan Pas, bukan dengan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Saiful Fariddil Jasmi berkata, UMNO dan Pas merupakan parti terbesar orang Melayu Islam selain mempu­nyai kekuatan jentera.

Katanya, parti-parti lain di dalam PN lebih kepada banyaknya calon namun tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera, yang secara tidak langsung akan mengundang masalah dalam proses agihan kerusi kelak.

“Sememangnya menjadi ke­hendak akar umbi, jika ada perbincangan ke arah penya­tuan biarlah antara UMNO dan Pas bukan dengan PN. Kita tidak mahu pihak ketiga.

“Parti-parti lain di dalam PN sebagai contoh hanya sekadar menumpang sahaja dengan kekuatan sebenar akar umbi dan jentera ialah tertumpu antara UMNO dan Pas.

“Saya jangka perkara itu antara yang bakal diketengahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

PAU 2026 dijadual berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 12 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Perhimpunan tahunan itu dimulakan dengan taklimat Presiden diikuti perasmian perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malam.

Perhimpunan agung ketiga-tiga pergerakan itu berlangsung pada 10 September, manakala PAU 2026 dijadual selama dua hari pada 11 dan 12 September.

Seramai 6,401 perwakilan dijadual menghadiri perhimpunan tersebut dengan 157 bahagian mengemukakan usul untuk dibahaskan.

Saiful Fariddil berkata, PAU tidak seharusnya hanya tertumpu kepada isu penyatuan parti politik sebaliknya kepentingan rakyat perlu terus menjadi agenda utama.

Katanya, perkara berkaitan kebajikan, polisi kerajaan serta inisiatif membantu rakyat perlu diberi perhatian terutama usaha meringankan beban kehidupan golongan pekerja dan peniaga.

“Perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat seperti kebajikan, polisi-polisi kerajaan, serta inisiatif untuk membantu rakyat terutamanya dalam kemaslahatan kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×