Yusoff Rawther mohon suaka politik UK

Yusoff Rawther mohon suaka politik UK

MUHAMMED YUSOFF RAWTHER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Antarabangsa (Interpol) di Manchester sedang mengesan keberadaan bekas pembantu penyelidik, Muham­med Yusoff Rawther yang kini berada di United Kingdom (UK) sejak Jun 2025.

Lelaki itu berada di United Kingdom (UK) selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan pada 12 Jun 2025 dan telah memohon perlindungan suaka hak asasi manusia dari negara berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah pada sebutan rayuan terhadap keputusan yang melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Rayuan di sini.

“Pihak perayu telah menghantar notis permintaan kepada Interpol Manchester pada 22 Julai lalu dan pihak Interpol juga telah meminta beberapa butiran tambahan. Interpol telah mengambil maklum dan sedang mengumpul maklumat.

“Buat masa ini, maklumat terkini keberadaan responden (Muhammed Yusoff) masih belum diketahui. Oleh itu, pihak perayu (pendakwaan) memohon tarikh sebutan baru,” katanya.

Pada prosiding semalam, sebutan tersebut didengar oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim K. Muniandy.

Selain itu, Mohd. Asnawi memaklumkan, rayuan berke­naan boleh diteruskan tanpa keha­diran responden iaitu Muhammed Yusoff kerana peruntukan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah tidak pernah menyentuh mengenai kehadiran fizikal.

“Seksyen 314 tidak terpakai pada ketika ini kerana responden pada tarikh terdahulu memaklumkan melalui peguamnya bahawa dia bersedia untuk menghadiri rayuan cuma melalui wadah yang berbeza iaitu melalui Zoom,” katanya.

Menurut seksyen itu, jika notis rayuan telah disampaikan kepada responden tetapi responden gagal hadir, mahkamah boleh meneruskan pendengaran rayuan tersebut atau menangguhkan kes ke suatu tarikh lain.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan, pihaknya telah mendapat arahan tegas bahawa Muhammed Yusoff bersedia untuk meneruskan pendengaran rayuan tetapi secara Zoom sebagaimana yang dinyatakan dalam surat kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 2 Jun lalu.

Hakim Azman kemudian membangkitkan persoalan: “Jika kita berikan keistimewaan pada kes ini (hadir secara Zoom), bagaimana dengan kes-kes akan datang? Sekarang bukan Covid.”

Mahkamah kemudian mene­tapkan 4 November ini untuk sebutan semula rayuan tersebut.

Pada 12 Jun 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan seterus­nya memfailkan rayuan di Mah­kamah Rayuan.

Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret pada 12 September 2024 atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang didakwa ditemukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi 6 September 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×