PETALING JAYA: LBS Bina Group Bhd. (LBS) memeterai perjanjian penyewaan bersama Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin).
Melalui kerjasama itu Mydin menjadi pasar raya pertama di perbandaran KITA@Cybersouth yang dibangunkan oleh LBS.
Kemasukan Mydin akan memperkukuh ekosistem komersial dan menyokong transformasi KITA@Cybersouth sebagai sebuah perbandaran dengan komuniti dinamik dan saling terhubung.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Datuk Wira Lim Hock Guan berkata, sejajar dengan perkembangan KITA @ Cybersouth, adalah penting untuk memastikan kemudahan dan perkhidmatan disediakan di dalam perbandaran itu terus berkembang selaras dengan keperluan penduduk.
“Kehadiran Mydin sebagai pasar raya pertama di perbandaran ini merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan sebuah komuniti yang lebih lengkap. Mydin merupakan jenama tempatan yang amat dipercayai serta mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap keperluan pengguna di Malaysia.
“Sudah tentu kami amat berbesar hati serta mengalu-alukan kehadiran Mydin ke KITA @ Cybersouth yang dijangka dapat memenuhi keperluan kehidupan sesebuah kejiranan daripada barangan keperluan dapur dan isi rumah kepada kemudahan membeli-belah serta ruang untuk berkumpul di samping menyemarakkan lagi aktiviti dan penawaran komersial,” katanya dalam kenyataan sempena pemeteraian perjanjian itu.
Hock Guan menandatangani perjanjian berkenaan bersama Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin di Galeri Penemuan LBS di KITA @ Cybersouth, baru-baru ini.
Sementara itu, Ameer berkata, kerjasama berkenaan amat bermakna buat Mydin memandangkan pengalaman LBS dalam membangunkan komuniti yang kukuh serta kawasan pertumbuhan baharu.
Katanya, keputusan membuka pasar raya Mydin di KITA@Cybersouth mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi besar Cybersouth yang sedang berkembang pesat dan menarik semakin ramai penduduk khususnya golongan keluarga muda.
“Kami mahu Mydin menjadi lebih daripada sebuah destinasi membeli belah dan menjadi sebahagian daripada komuniti ini.
“Ia selaras dengan perkembangannya dalam menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, di samping menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dan selesa kepada para penduduk,” katanya. – UTUSAN










