PETALING JAYA: Pasar raya Mydin akan melanjutkan waktu operasi 50 cawangan terpilih di seluruh negara pada 5 hingga 7 September ini, bermula pukul 7 hingga 1 pagi, untuk membolehkan orang ramai membuat penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, langkah itu diambil kerana pihaknya memahami keperluan pelanggan untuk mempunyai lebih masa berbelanja, khususnya bagi memanfaatkan Bantuan SARA RM100 serta bantuan lain yang telah dikreditkan oleh kerajaan.
Beliau berkata, lanjutan tempoh operasi itu dijangka membolehkan pelanggan berbelanja dengan lebih selesa, teratur serta mengurangkan kesesakan di kaunter bayaran.
“Mydin kekal komited menyokong usaha kerajaan meringankan kos sara hidup
rakyat dengan memastikan bekalan barangan asas mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia ditemui di Mydin Subang, hari ini.
Ameer Ali berkata, ketika ini Mydin hanya mempunyai lima terminal pembayaran, menyebabkan orang ramai beratur panjang, namun keadaan masih terkawal.
Kata beliau, pihaknya sentiasa mengambil inisiatif untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di kaunter bagi memastikan pelanggan dapat berurusan dengan selesa dan cepat, terutama sepanjang tempoh penebusan SARA 2025.
“Hari ini, (semalam) seorang pelanggan hanya mengambil masa kira-kira tiga hingga lima minit, berbanding sebelum ini pelanggan terpaksa menunggu hampir satu jam untuk membuat pembayaran.
“(Tempoh memanjangkan waktu operasi) akan memendekkan masa untuk orang beratur, sekali gus akan ramai lagi yang mampu menebus SARA,” katanya.
Ameer dalam masa sama menggalakkan orang ramai untuk mengunjungi rangkaian pasar raya Mydin selepas pukul 10 malam dengan pihaknya turut membuka lebih banyak kaunter penebusan.
“Sekarang kita ada lima kaunter, seandainya sistem pada waktu itu berjalan dengan baik, kita boleh buka dalam lapan hingga sepuluh kaunter,” katanya. – UTUSAN










