KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki remaja kebangsaan, Pang Cheh Chang enggan mengulas lanjut mengenai khabar berita perlantikan beliau sebagai ketua jurulatih beregu campuran, malah, sebaliknya lebih selesa menunggu keputusan rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Chen Chang berkata, keputusan akhir terletak di tangan majikannya, BAM dan beliau perlu mematuhi prosedur yang telah digariskan.
“Kalau saya komen pasal benda ini yang mana belum dibenarkan lagi, macam tak betullah. Saya ikut prosedur persatuan (BAM). Jadi, tiada komen, cuma biarkan pihak BAM yang tentukan,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat sini, hari ini.
BAM pada ketika ini, mencari pengganti Nova Widianto yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih beregu campuran Malaysia dan memilih kembali ke Indonesia.
Ekoran perletakkan jawatan tersebut, BAM dikhabarkan melantik Cheh Chang bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan Nova.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 52 tahun itu lebih selesa pihak media menunggu pengumuman rasmi BAM dan buat masa ini, beliau bertindak membantu sesi latihan pemain senior serta beregu remaja yang berada di bawah bimbingannya.
“Memang ada bincang sedikit (bersama BAM), tapi saya masih lagi jaga pasukan remaja. Saya cuba bantu dulu dan biarkan BAM yang putuskan. Buat masa sekarang saya tak mahu komen apa-apa.
“Saya (jaga) di kedua-dua bahagian (senior dan remaja), ada tolong tengok-tengokkan, itu sahaja,” tegasnya.
Ketika ditanya pula tentang persiapan pasukan ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kaherah, Mesir pada 5-17 Oktober ini, Cheh Chang berkata, keputusan senarai akhir pemain hanya akan diputuskan oleh BAM dan beliau sebagai jurulatih hanya membantu dari segi persiapan. – UTUSAN










