PETALING JAYA: Tanggungjawab menjaga anak dan keluarga menjadi antara halangan utama yang membataskan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik, menurut Kajian Suara Wanita 2025/2026.
Pengarah Eksekutif Suluh Centre, Nadia Nazri berkata, perkara itu menyebabkan sebahagian wanita berada di luar tenaga buruh turut boleh mengehadkan penglibatan mereka dalam kepimpinan komuniti dan politik.
Katanya, wanita tidak memerlukan pihak lain untuk meyakinkan mereka mengenai kemampuan memimpin, sebaliknya halangan yang menghalang penyertaan mereka perlu difahami dan ditangani.
“Daripada kajian melibatkan 1,030 wanita di seluruh negara antara Disember hingga Jun 2026, sebanyak 45.8 peratus responden mendapati komitmen keluarga dan tanggungjawab penjagaan merupakan halangan utama kepada penyertaan wanita dalam politik.
“Jadi, penjagaan kanak-kanak dan warga emas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi negara, bukan semata-mata urusan keluarga,” katanya ketika berucap di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini.
Laporan Kajian Suara Wanita itu dilancarkan oleh isteri kepada Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam pada itu, kajian mendapati 62.7 peratus responden berpandangan wanita masih kurang diwakili di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kata Nadia, sebanyak 55.2 peratus responden pula berpandangan wanita memerlukan lebih banyak peluang untuk membuktikan keupayaan mereka dan 31.2 peratus menyifatkan wanita mempunyai keupayaan setara dengan pemimpin lelaki.
“Ketika ini, wanita memegang 30 daripada 221 kerusi yang terisi di Dewan Rakyat, bersamaan 13.6 peratus. Sementara itu, kos sara hidup menjadi isu yang paling memberi kesan secara peribadi kepada responden dengan 54.2 peratus memilihnya sebagai kebimbangan utama.
“Ia diikuti peluang pekerjaan dan gaji sebanyak 25.1 peratus serta hutang isi rumah dan komitmen kewangan sebanyak 18.8 peratus,” jelasnya.
Antara cadangan dikemukakan Suluh Centre ialah supaya cadangan minimum 30 peratus calon wanita yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada Jun lalu diperundangkan dengan garis masa pelaksanaan yang jelas.
Selain itu, badan berkenaan mencadangkan cuti penjagaan anak berbayar selama enam hari bagi setiap ibu dan bapa dirintis melalui syarikat berkaitan kerajaan sebelum pindaan kepada Akta Kerja dilaksanakan.
Suluh Centre turut mencadangkan program rintis pemformalan pengasuh bagi melatih penjaga tidak formal bagi memperluas akses kepada penjagaan kanak-kanak mampu milik di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan. – UTUSAN










