TM CYDEC perkukuh pertahanan siber organisasi - Utusan Malaysia

TM CYDEC perkukuh pertahanan siber organisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TM One, melancarkan TM Cyber Defence Centre (TM CYDEC), pusat keselamatan siber yang menggabungkan rangkaian, pengkomputeran awan dan teknologi keselamatan siber bagi membantu organisasi mengesan ancaman serta bertindak balas dengan lebih pantas.

Terletak di Kampus TM Cyberjaya, TM CYDEC menghimpunkan kepakaran, bakat dan keupayaan keselamatan siber daripada sektor kerajaan, perusahaan serta TM bagi menyediakan pemantauan bersepadu terhadap rangkaian, platform awan, aplikasi dan infrastruktur digital.

Naib Presiden Eksekutif TM One, Shanti Jusnita Johari berkata, keselamatan siber pada masa depan bukan sekadar bergantung kepada jumlah ancaman yang dapat dikesan, sebaliknya keupayaan organisasi memahami keseluruhan ekosistem digital mereka.

“Organisasi kini beroperasi merentasi platform awan, rangkaian yang saling berhubung, pelbagai perkhidmatan dan infrastruktur kritikal.

“Melindungi semua elemen ini memerlukan pemahaman terhadap keseluruhan ekosistem sebagai satu sistem yang saling berkait, bukannya dipertahankan secara berasingan.

“TM CYDEC dibangunkan berdasarkan realiti ini bagi membolehkan organisasi membuat keputusan dengan lebih pantas, bertindak balas dengan lebih tepat serta meningkatkan daya tahan operasi digital mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam proses perniagaan, perkhidmatan pelanggan dan operasi turut mewujudkan risiko baharu berkaitan pendedahan data, tadbir urus, integriti model AI dan pematuhan peraturan.

“TM CYDEC menyediakan pemantauan sepanjang masa serta perisikan ancaman berterusan dengan menghubungkan dan menganalisis data berkaitan daripada pelbagai sistem digital, perkhidmatan terurus dan operasi keselamatan siber.

“Pendekatan ini meningkatkan keterlihatan serta mengurangkan masalah yang sering berlaku apabila persekitaran digital dipantau secara berasingan, sekali gus membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas dan tepat,” katanya.

Menurutnya, TM CYDEC yang berpangkalan di Malaysia turut menyokong tadbir urus, proses eskalasi dan kawalan tempatan bagi persekitaran digital yang sensitif.

“Kepakaran tempatan serta keupayaannya merentasi pelbagai domain keselamatan memberikan jaminan lebih tinggi terhadap pematuhan peraturan, termasuk keperluan di bawah Akta Keselamatan Siber 2024, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan kerangka tadbir urus digital Malaysia,” katanya.

TM CYDEC turut memperoleh beberapa pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk ISO/IEC 27001 bagi pengurusan keselamatan maklumat, ISO 22301 bagi pengurusan kesinambungan perniagaan, ISO 9001 bagi pengurusan kualiti dan ISO 37001 bagi pengurusan antirasuah.

Sebagai penyedia perkhidmatan digital di Malaysia, TM One menawarkan perkhidmatan merangkumi ketersambungan, pengkomputeran awan, pusat data, keselamatan siber dan perkhidmatan digital terurus.

Keupayaan itu membolehkan TM CYDEC menghubungkan dan menganalisis perisikan daripada pelbagai domain keselamatan bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh dalam melindungi sistem, perkhidmatan dan infrastruktur yang menyokong ekonomi digital negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×