KUALA TERENGGANU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengesahkan kualiti udara di negeri ini masih berada pada tahap sederhana dengan tiada hotspot dikesan setakat pukul 8 pagi ini.
Pengarah JAS Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di empat stesen pemantauan seluruh negeri adalah antara 73 hingga 91.
Katanya, bacaan tertinggi direkodkan di Kuala Terengganu iaitu 91 diikuti Besut (89), Paka (76) dan Kemaman (73).
“Kesemua stesen berada pada tahap sederhana dan tiada hotspot dikesan. Bacaan ini adalah berdasarkan pemantauan JAS pada 8 pagi ini,” katanya di sini.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan 51 hingga 100 adalah pada tahap sederhana manakala bacaan 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat. – UTUSAN









