Syarikat digesa percepat automasi, kurang kebergantungan pekerja asing

Syarikat digesa percepat automasi, kurang kebergantungan pekerja asing

JOHARI Abdul Ghani ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Forum Wanita, AI dan Ekonomi Digital di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua syarikat tanpa mengira saiz perlu mempercepatkan penggunaan automasi dalam operasi dan pengeluaran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting kerana bekalan pekerja asing pada masa hadapan tidak lagi seperti sekarang.

“Kita mahu semua syarikat, tidak kira mikro, kecil atau sederhana, memahami betapa pentingnya kita membawa automasi ke dalam operasi dan pengeluaran secepat mungkin.

“Kalau ada pun pekerja asing ini nanti hanya digunakan untuk pekerjaan kategori 3D iaitu sukar, berbahaya dan kotor, ” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Wanita, AI dan Ekonomi Digital di sini hari ini.

Bagaimanapun Johari berkata, pengurangan pekerja asing tidak boleh dilakukan secara mendadak, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan sebenar sesuatu industri.

“Kalau sebuah syarikat mempunyai 1,000 pekerja dan pekerjaan 3D hanya 20 peratus, maka 200 orang mungkin diperlukan. Baki 800 itu, dari semasa ke semasa, kita perlu kurangkan,” katanya. 

Tambah beliau, kerajaan mahu meyakinkan semua usahawan supaya tidak lagi bergantung kepada pekerja asing kecuali pekerjaan 3D.

Katanya, rakyat tempatan sebenarnya sanggup bekerja jika pekerjaan itu menawarkan nilai ekonomi yang setimpal seperti rakyat Malaysia yang sanggup berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mendapatkan pendapatan lebih baik.

Dalam pada itu, beliau berkata penguasaan kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital penting untuk mengangkat martabat wanita.

Katanya, Malaysia kini berada dalam fasa penting transformasi ekonomi digital menerusi Malaysia Digital 2030.

“Kita tidak mahu wanita hanya menjadi pengguna teknologi. Kita mahu mereka menjadi pencipta teknologi, pencipta perniagaan, pencipta peluang pekerjaan dan pencipta nilai,” katanya.

Johari berkata perubahan itu penting bagi memastikan wanita turut menjadi penggerak utama ekonomi digital negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×