MOSCOW: Sekurang-kurangnya 11 pendaki terkorban manakala enam lagi hilang selepas satu kejadian runtuhan salji melanda di wilayah Kabardino-Balkaria, utara Caucasus, menurut pihak perkhidmatan kecemasan tempatan.
Runtuhan salji itu meluncur turun dari Gunung Mizhirgi di kawasan Caucasus Mountains, iaitu salah satu puncak tertinggi di utara Caucasus, Russia, kira-kira jam 5 petang waktu tempatan pada Ahad sebelum menimpa sekumpulan 33 orang pendaki.
Setakat jam 9 pagi waktu tempatan pada Isnin, seramai 10 pendaki berjaya turun sendiri dari kawasan gunung berkenaan.
Nasib enam lagi pendaki masih belum diketahui, maklum pihak perkhidmatan kecemasan.
Lebih 50 petugas kecemasan telah dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat.
Bagaimanapun, usaha itu terhalang berikutan bentuk muka bumi yang sukar serta risiko berlakunya runtuhan salji susulan.
Operasi menyelamat berskala besar yang turut melibatkan helikopter jenis Mi-8 sedang dijalankan bagi mengesan enam pendaki yang masih hilang.
Sementara itu, enam pendaki yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Satu rakaman video cemas memaparkan detik-detik ngeri apabila timbunan salji dan batuan meluncur laju dari puncak berketinggian 5,018 meter itu.
Runtuhan salji berskala besar itu menghempap para pendaki di kawasan Gaung Bezengi, iaitu sebuah struktur banjaran gunung diliputi glasier tebal yang membentang sepanjang kira-kira 14 kilometer di sempadan Russia–Georgia.
Salah satu teori awal mengesyaki bahawa sebahagian daripada glasier di kawasan berkenaan telah runtuh. – AGENSI










