PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan telah mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya bukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pelarian yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kata beliau, mereka boleh diambil tindakan seperti PATI sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.
“Majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
“Pengecualian hanya melibatkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen, iaitu kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen.
Jelasnya, pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka serta Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam hal ini, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
“Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan Kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.
“Sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian ini adalah tertakluk dasar yang ditentukan oleh MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka,” katanya. – UTUSAN










