RAMAI pemandu masih menganggap lorong paling kanan sebagai ‘lorong laju’. Selagi mereka memandu pada had laju maksimum, misalnya 110 kilometer sejam, mereka merasakan mereka berhak terus berada di lorong tersebut.
Pemahaman ini perlu diperbetulkan.
Konsep yang lebih tepat ialah kekal di kiri dan gunakan lorong kanan untuk memotong. Selepas selesai memotong dan keadaan selamat, pemandu sepatutnya kembali ke lorong di sebelah kiri.
Prinsip ini bukan sekadar soal kesopanan di jalan raya. Ia berkaitan dengan pengurusan aliran trafik.
Dalam bidang pengangkutan, lebuh raya boleh dilihat sebagai satu sistem aliran. Setiap lorong mempunyai fungsi dan kapasiti tertentu. Apabila sebuah kenderaan bergerak lebih perlahan di lorong kanan dalam tempoh yang panjang, kenderaan di belakang terpaksa mengurangkan kelajuan atau menukar lorong.
Setiap pertukaran lorong ini mewujudkan titik konflik baharu.
Lebih banyak pertukaran lorong berlaku, lebih tidak stabil aliran trafik. Pemandu mula membrek, mempercepatkan kenderaan dan kemudian membrek semula. Kesan ini boleh merebak kepada puluhan kenderaan di belakang walaupun sebenarnya tiada kemalangan atau halangan fizikal di hadapan.
Inilah antara sebab kita kadang-kadang berhadapan kesesakan yang seolah-olah muncul tanpa sebab.
Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya yang semakin baik. Namun ia tidak akan menghasilkan sistem pengangkutan yang cekap sekiranya tingkah laku pengguna tidak berkembang bersama-sama dengannya.
Mengekori terlalu rapat, enggan memberi laluan, memotong secara agresif dan bertukar lorong tanpa keperluan mungkin kelihatan seperti perkara biasa. Namun setiap tingkah laku tersebut menambah risiko dalam sistem trafik.
Pada masa sama, kita juga tidak boleh memberikan gambaran pemandu di belakang mempunyai hak untuk memaksa kenderaan di hadapan memberikan laluan.
Jika sebuah kenderaan berada di lorong kanan, menyalakan lampu tinggi berulang kali, mengekori pada jarak terlalu dekat atau memotong secara berbahaya bukan penyelesaiannya.
Disiplin perlu datang daripada kedua-dua pihak.
Inisiatif Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia mengenai Had Laju Nasihat Minimum yang mula diuji pada Ogos 2026 cuba membantu pemandu memahami hubungan antara kelajuan perjalanan dengan fungsi setiap lorong.
Namun papan tanda sahaja tidak mencukupi.
Malaysia memerlukan pendidikan penggunaan lebuh raya yang lebih mudah dan konsisten. Kempen seperti ‘Kekal Kiri, Potong Kanan, Kembali Kiri’ seharusnya menjadi mesej asas yang difahami sejak seseorang belajar memandu.
Pendidikan sekolah memandu juga perlu memberi lebih perhatian kepada etika lebuh raya, jarak selamat, pemilihan lorong dan kesan pertukaran lorong terhadap aliran trafik. Lesen memandu bukan sekadar bukti seseorang boleh mengawal kenderaan. Ia sepatutnya menunjukkan seseorang memahami bagaimana berkongsi ruang jalan raya.
Akhirnya, lebuh raya ialah ruang bersama.
Lorong kanan bukan milik pemandu kereta berkuasa besar. Ia juga bukan milik mereka yang memandu tepat pada had laju maksimum. Ia mempunyai fungsi.
Apabila setiap pengguna memahami fungsi tersebut, perjalanan menjadi lebih teratur, aliran trafik lebih lancar dan risiko konflik dapat dikurangkan.
Kita mungkin tidak memerlukan lebuhraya yang lebih lebar untuk menyelesaikan setiap masalah trafik. Kadangkala kita hanya memerlukan pemandu yang lebih memahami cara menggunakan lebuhraya yang sudah kita ada.-UTUSAN
DR. IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS),
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










