WASHINGTON: Usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menukar nama pelbagai tempat menemukan sasaran baharu yang tidak dijangka pada Ahad apabila beliau mencadangkan supaya negeri New Mexico dinamakan sebagai New America.
Cadangan itu, yang segera ditolak gabenor negeri berkenaan, dibuat beberapa hari selepas Trump menandatangani perintah untuk menamakan semula Tasik Ontario sebagai Tasik Amerika, ketika perang dagang dengan negara jiran, Kanada, semakin memuncak.
“Ramai yang mencadangkan supaya nama New Mexico ditukar kepada New America,” kata presiden daripada Parti Republikan itu dalam satu hantaran di media sosial.
Jauh lebih berprestij dan indah untuk penduduk negeri yang berpotensi menjadi luar biasa itu. Wow, Saya Suka,” tulisnya di Truth Social.
Rumah Putih kemudian berkongsi semula gambar yang menunjukkan perkataan Mexico pada nama negeri itu dipangkah dan digantikan dengan perkataan America.
Beberapa laporan media AS menyebut bahawa idea itu pada asalnya tercetus daripada tipuan internet.
Gabenor negeri New Mexico, Michelle Lujan Grisham memberitahu Fox News bahawa nama itu tidak boleh diperdebatkan kerana ia sudah menjadi milik negeri tersebut sejak sebelum AS wujud.
Beliau berkata, presiden itu mahu mengalih perhatian rakyat Amerika daripada isu seperti kenaikan harga petrol yang melambung tinggi.
Satu lagi hantaran memaparkan sempadan negara Iran yang diubah bentuk mengikut garisan bentuk kepala presiden berkenaan, berikutan perang AS dengan negara Asia Barat itu kini berlanjutan melebihi tempoh enam bulan.
Turut dipaparkan dalam siri hantaran berkenaan ialah sekumpulan graf yang menunjukkan kononnya pencapaian ekonomi yang telah diraih oleh pentadbiran beliau – AGENSI










