Proton perluas rangkaian S70 harga bawah RM60,000 - Utusan Malaysia

Proton perluas rangkaian S70 harga bawah RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton memperluaskan rangkaian sedan S70 menerusi pengenalan dua varian baharu, Lite dan Prime, dengan anggaran harga di bawah RM60,000.

Kedua-dua varian baharu itu dikuasakan enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi boleh ubah berterusan (CVT), sekali gus menawarkan pilihan lebih mampu milik kepada pengguna yang mahu memiliki sedan segmen-C.

Tempahan bagi S70 Lite dan Prime dibuka mulai 7 September di semua cawangan sah Proton di seluruh negara, manakala harga rasmi akan diumumkan ketika pelancaran rasmi model berkenaan.

Pengenalan dua varian baharu itu dijangka memperluaskan lagi capaian S70 kepada segmen pengguna yang mengutamakan keselesaan, praktikaliti dan kemudahan pemanduan harian pada harga lebih kompetitif.

Rangkaian S70 yang diperluaskan itu turut menawarkan 10 ciri terunggul dalam kelasnya, meliputi aspek ruang, keselesaan, kehalusan pemanduan, ketersambungan dan keselamatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, penambahan varian baharu itu memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan tanpa menjejaskan ciri utama yang diperlukan untuk kegunaan harian.

“Proton S70 sentiasa menawarkan rakyat Malaysia pengalaman pemanduan yang lebih tinggi tarafnya menerusi ruang, keselesaan dan ciri-ciri yang mereka hargai dalam pemanduan harian.

“Pengenalan varian baharu ini memperluaskan tawaran tersebut kepada pelanggan yang mencari sedan mampu milik tetapi lengkap dengan ciri-ciri, serta menawarkan ruang kabin yang luas dan pengalaman pemanduan yang selesa,” katanya.

Tambahnya, Proton pada masa sama memastikan ciri-ciri utama tersedia merentasi rangkaian S70, sekali gus memberikan pelanggan lebih banyak pilihan.

Rangkaian baharu S70 itu turut meneruskan momentum model berkenaan dalam pasaran apabila mencatatkan purata jualan bulanan melebihi 2,500 unit sepanjang 2026.

Dari segi kefungsian, varian Lite dan Prime menawarkan ruang kabin yang luas menerusi dimensi keseluruhan, jarak roda dan badan yang lebar.

Reka bentuk badan yang lebih lebar menyediakan ruang bahu lebih luas untuk penumpang belakang, manakala lantai belakang yang hampir rata membolehkan tiga penumpang duduk bersebelahan dengan lebih selesa.

Selain itu, ruang penyimpanan yang disediakan di beberapa bahagian kabin turut memenuhi keperluan keluarga untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.

Dari aspek keselesaan pula, kedua-dua varian menampilkan prestasi bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih baik, menghasilkan ruang kabin lebih senyap serta pengalaman pemanduan lebih halus.

Keselesaan turut dipertingkatkan menerusi tempat duduk kemasan kulit, panel instrumen kemasan lembut serta perincian dalaman yang direka bagi memberikan suasana lebih premium.

Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 turut layak menerima ganjaran eksklusif tempahan awal, dengan butiran lanjut akan diumumkan ketika pelancaran rasmi.

Dengan anggaran harga di bawah RM60,000, pengenalan S70 Lite dan Prime dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Proton dalam segmen sedan mampu milik, selain memberikan pengguna lebih banyak pilihan berdasarkan keperluan dan kemampuan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×