PETALING JAYA: Mata wang tempatan berdepan risiko susut ke paras RM4.08 hingga RM4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) meneruskan kenaikan kadar faedah ketika inflasi AS kekal tinggi.
Sebaliknya, ringgit berpotensi mengukuh sehingga menguji paras RM3.95 hingga RM4 sekiranya data inflasi AS menunjukkan trend menurun dan Fed mengambil pendirian lebih sederhana terhadap dasar monetari.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pergerakan ringgit itu dijangka banyak dipengaruhi perkembangan dasar monetari AS serta data ekonomi utama negara berkenaan, khususnya inflasi dan pasaran pekerjaan, yang akan menentukan hala tuju dolar AS dalam tempoh terdekat
Menurutnya, meskipun ringgit menunjukkan pengukuhan pada pembukaan dagangan hari ini kepada sekitar RM4.04 berbanding dolar AS, pergerakan itu tidak semestinya menggambarkan perubahan trend yang kukuh kerana sentimen pasaran masih berhati-hati.
“Pengukuhan ringgit pada pembukaan lebih banyak didorong faktor teknikal dan sentimen pasaran yang masih melihat ekonomi Malaysia sebagai stabil, walaupun data pekerjaan AS lebih kukuh daripada jangkaan.
“Dalam masa sama, ringgit terus mendapat sokongan daripada beberapa faktor domestik termasuk kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) serantau, selain prospek aliran pelaburan asing yang berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam jangka pendek, ujarnya, dolar AS dijangka mendapat manfaat daripada jangkaan pulangan aset berdenominasi dolar yang lebih tinggi, sekali gus berpotensi mendorong aliran modal kembali ke pasaran AS.
“Pasaran sedang membangun seperti Malaysia pula mungkin berdepan tekanan apabila pelabur menilai semula risiko dan pulangan aset masing-masing.
“Sekiranya Fed menaikkan kadar faedah, kesan utama kepada ringgit ialah peningkatan daya tarikan aset dolar AS.
“Kenaikan kadar tersebut lazimnya menarik aliran modal global kembali ke AS, mengurangkan minat terhadap aset pasaran sedang membangun dan meningkatkan kos pembiayaan dalam dolar,” katanya.
Ujar Barjoyai, situasi itu boleh menyebabkan ringgit melemah serta memberi tekanan kepada pasaran bon Malaysia sekiranya berlaku pengaliran keluar modal asing.
“Bagaimanapun, kesannya dijangka lebih sederhana berbanding kitaran pengetatan monetari terdahulu kerana kedudukan luaran Malaysia kini lebih baik dan akaun semasa negara masih mencatat lebihan.
“Pengukuhan ringgit ketika ini bukan semata-mata dipacu faktor sementara kerana mata wang tempatan turut mendapat sokongan daripada fundamental ekonomi Malaysia.
“Antara faktor berkenaan ialah pertumbuhan ekonomi yang positif, inflasi yang terkawal, lebihan perdagangan yang berterusan serta kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam sektor semikonduktor, pusat data dan AI,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit dijangka berdepan tekanan untuk kembali susut dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang, meskipun mata wang tempatan mencatat pengukuhan pada pembukaan dagangan hari ini.
Katanya, pengukuhan ringgit ketika ini lebih bersifat sementara berikutan permintaan yang agak tinggi pada awal dagangan, selain dolar Amerika Syarikat (AS) kurang mendapat sokongan belian susulan krisis Asia Barat yang masih belum menemui penyelesaian.
“Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4 hingga RM4.10 berbanding dolar AS dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Pengukuhan yang berlaku ketika ini lebih bersifat sementara kerana tiada petunjuk ekonomi yang signifikan untuk menyokong ringgit dalam tempoh kebelakangan ini.
“Justeru, ringgit dijangka kembali mengalami tekanan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan pasaran pekerjaan AS turut menjadi faktor penting yang perlu diberi perhatian kerana peningkatan berterusan dalam data pekerjaan bukan ladang (NFP) akan mencerminkan ekonomi AS yang semakin kukuh. – UTUSAN










