PETALING JAYA: Ringgit meneruskan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) didorong sentimen positif susulan kenaikan harga minyak mentah dunia, kelemahan dolar AS dan pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap mata wang tempatan.
Pada penutup dagangan semalam, ringgit mengukuh pada 3.9050/9090, manakala indeks petunjuk utama Bursa Malaysia, FBM KLCI naik 1.98 mata apabila ditutup pada 1,758.85 berbanding 1,756.87 ketika penutup pada Rabu.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara faktor utama yang menyokong prestasi ringgit ialah lonjakan harga minyak mentah Brent yang mencecah AS$128 (RM506.29) setong.
“Lonjakan itu terjadi selepas Iran dilaporkan mengesahkan penutupan Selat Hormuz sekurang-kurangnya selama dua minggu.
“Situasi itu mencetuskan kebimbangan gangguan bekalan minyak global dan mendorong jangkaan harga minyak boleh meningkat sehingga AS$140 (RM553.75) setong.
“Perkembangan tersebut dilihat memberi kelebihan kepada Malaysia sebagai negara pengeksport minyak di rantau Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pada masa sama, indeks dolar AS (DXY) susut daripada 103.1 kepada 102.6 selepas data kredit pengguna AS mencatatkan prestasi paling lemah sejak 2020, sekali gus meningkatkan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) akan menurunkan kadar faedah pada Jun ini.
“Pasaran kini menganggarkan kebarangkalian sebanyak 65 peratus untuk Fed melaksanakan pengurangan kadar faedah dalam mesyuarat akan datang,” katanya.
Dalam pasaran ekuiti, pengukuhan ringgit dijangka menyokong sentimen di Bursa Malaysia dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi meningkat ke paras 1,735 mata daripada sekitar 1,725 mata sebelum ini.
“Kaunter sektor perbankan, pengguna dan amanah pelaburan hartanah (REIT) dijangka mendapat manfaat daripada pergerakan tersebut.
“Bagaimanapun, syarikat berorientasikan eksport seperti pengeluar semikonduktor dan sarung tangan mungkin berdepan tekanan margin susulan pengukuhan mata wang tempatan.
“Pasaran kini menantikan aliran masuk dana asing pada sesi dagangan pagi serta kenyataan BNM petang ini yang dijangka menjadi pemangkin utama hala tuju ringgit dalam tempoh terdekat.
“Data NFP AS yang akan diumumkan Jumaat pula dijangka menjadi penentu sama ada ringgit mampu mengukuh ke paras RM3.85 atau kembali menghampiri RM3.95 minggu depan,” katanya.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pasaran saham tempatan dijangka kekal stabil atau mencatat kenaikan kecil susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Menurut beliau, setakat minggu ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) masih bergerak positif dalam lingkungan 1,740 hingga 1,760 mata, disokong kaunter perbankan dan utiliti.
“Kenyataan BNM juga dilihat lebih dovish susulan pengekalan OPR itu, sekali gus berpotensi mendorong peralihan aliran dana ke sektor hartanah, pembinaan dan pengguna berikutan jangkaan kemungkinan penurunan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini.
“Kaunter perbankan juga dijangka terus menerima sokongan memandangkan margin faedah bersih (NIM) kekal kukuh dalam persekitaran kadar semasa,” katanya. –UTUSAN










