PETALING JAYA: Pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak dilihat memberi kelebihan besar kepada Datuk Ab Ghani Hassan untuk memenangi persaingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 September ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, pengalaman Ab Ghani mengemudi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), selain latar belakangnya sebagai bekas pemain, menjadi antara faktor yang mampu mempengaruhi sokongan ahli gabungan FAM.
“Daripada pandangan saya selama ini, Ab Ghani ada kelebihan kerana pengalaman beliau mentadbir MFL. Beliau juga bekas pemain dan mempunyai reputasi sebagai pemimpin.
“Berbanding Datuk Seri Shahril Mokhtar yang merupakan orang baharu dalam Selangor, beliau lebih dilihat membawa pendekatan rebellious dalam FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia
Zulakbal berkata, walaupun Shahril mempunyai pengalaman tersendiri dalam bola sepak Selangor dan membawa pendekatan berbeza, faktor kestabilan mungkin menjadi pertimbangan utama ahli gabungan ketika membuat pilihan.
Menurutnya, FAM ketika ini lebih memerlukan kepimpinan yang mampu mengembalikan keyakinan serta memperbaiki imej badan induk bola sepak negara yang tercalar akibat pelbagai isu sebelum ini.
“Pemegang taruh lebih memikirkan FAM memperbaiki imejnya yang sudah tercemar teruk. Sebelum nak mengorak langkah memperbaiki keadaan atau meningkatkan kualiti bola sepak, FAM terlebih dahulu perlu memperbaiki imejnya.
“Bila imej sudah baik, barulah kita fikir mengenai kemajuan, Piala Asia, kelayakan Piala Dunia atau mengatasi pasukan seperti Vietnam,” katanya.
Dalam pada itu, Zulakbal menegaskan Presiden FAM yang baharu perlu membawa perubahan besar dari segi tadbir urus, khususnya memastikan badan induk itu benar-benar beroperasi secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang keraguan.
Persaingan jawatan Presiden FAM bagi baki penggal 2025-2029 menyaksikan Ab Ghani, yang juga Presiden MFL, berdepan Shahril, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), dalam pemilihan yang bakal menentukan hala tuju baharu badan induk bola sepak negara.-UTUSAN










