Kemenangan City belum meyakinkan

Kemenangan City belum meyakinkan

Penyerang Manchester City, Erling Haaland diasak pertahanan Coventry City, Ethan Pinnock, ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Kemenangan 1-0 Manchester City ke atas Coventry dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, kelmarin, masih belum cukup membuatkan pengendalinya, Enzo Maresca puas.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu mengakui kemenangan seperti itu bukanlah sesuatu yang indah, namun ketahanan pasukannya ketika berdepan tekanan pada penghujung permainan menjadi perkara positif.

“Tidak semua kemenangan akan hadir dengan cara yang cantik. Cara kami berjuang bersama sehingga akhir dan bertahan ketika lontaran ke dalam serta situasi bola mati adalah bagus,” katanya.

Gol tunggal Erling Haaland pada babak pertama memastikan skuad The Citizens  mengutip tiga mata penuh untuk kemenangan ketiga berturut-turut musim ini, namun terpaksa bekerja keras mempertahankan kelebihan tipis sehingga wisel penamat.

Maresca, yang mengambil alih tugas selepas era panjang Pep Guardiola, menurunkan dua rekrut baharu, Enzo Fernandez dan Iliman Ndiaye, ketika City terus memperkemaskan skuad selepas membelanjakan 460 juta pound (RM2.5 bilion) dalam jendela perpindahan.

Fernandez, yang tiba dari Chelsea dengan yuran 125 juta pound (RM683 juta) bagi menyamai rekod perpindahan EPL, pada awalnya dijangka bermula di bangku simpanan. 

Ndiaye pula membuat penampilan sulung bersama City, bergandingan dengan Haaland, Antoine Semenyo dan Rayan Cherki dalam jentera serangan yang sarat dengan nama besar.

Coventry hampir mencuri kesempatan pada awal permainan apabila Donnarumma gagal mengawal hantaran ke belakang sebelum penjaga gol Itali itu sempat mengeluarkan bola tepat di atas garisan gol. 

City selepas itu meningkatkan tekanan dan hampir membuka jaringan menerusi Cherki, namun percubaannya sekadar menggegar tiang.

Bagaimanapun, Fernandez menjadi pencetus gol kemenangan apabila hantarannya kepada Semenyo disusuli hantaran lintang yang mudah ditanduk Haaland menewaskan penjaga gol Coventry.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×