Menang Piala Lee Chong Wei satu permulaan - Putera Raees

Menang Piala Lee Chong Wei satu permulaan – Putera Raees

Putera Raees Rafael (kanan) bersama trofi dimenanginya, manakala, Wong Wei Shen muncul naib juara Perseorangan Lelaki Bawah 15 Tahun pada Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Ihsan Lee Chong Wei Cup
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain muda berbakat besar, Putera Raees Rafael Sulaiman berkata, menjuarai Piala Lee Chong Wei hanyalah satu permulaan untuk dia mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Mewakili Negeri Sembilan, pemain itu menewaskan Wong Wei Shen dari Selangor 12-15, 16-14, 15-13 pada perlawanan akhir kategori Perseorangan Lelaki Bawah 15 tahun di Stadium Juara, dekat sini, hari ini.

Sewaktu ditemu bual pemberita, Putera Raees melahirkan rasa gembiranya berjaya memenangi perlawanan akhir yang disifatkannya tidak diraih dengan jalan yang mudah.

“Perlawanan, hari ini, sangat sukar. Mula-mula saya kena kejar dia, kemudian saya berjaya mendahului, tetapi dia pintas saya balik dan kami saling bersaing sengit sehingga ke set penentuan,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah menjadi juara Bawah 15 Tahun, dia tidak akan berhenti setakat ini dan akan terus bekerja keras dalam sesi latihannya.

“Saya sebenarnya sudah lama tidak lawan dia (Wei Shen). Kali terakhir kami bertemu adalah kira-kira dua tahun lalu dan masa itu dia menang,” ujar Putera Raees yang turut bermain dalam acara beregu.

Untuk rekod, Putera Raees pernah memenangi pingat emas untuk kategori Lelaki Bawah 14 Tahun pada Jelajah Remaja Elit Affin-100Plus pada tahun lalu.

Sementara itu, dalam kategori Beregu Lelaki Bawah 17 Tahun, gandingan Melaka, Ahmad Qaid Darwisy Ahmad Fu’ad-Syed Harraz Syed Muzir mengejutkan beregu dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Teoh Chong Yee-Wong Tze Han 15-10, 15-9.

Syed Harraz berkata, dia berasa bangga dapat mengalahkan wakil dari BAM dan kejayaan itu adalah berkat usaha keras mereka di dalam latihan.

“Kami sentiasa fokus berdepan lawan satu demi satu. Jangan fikir terlalu jauh ke depan, kekal fokus sampai jadi juara,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.

Ketika ditanya sama ada mereka bersedia jika dipanggil menyertai BAM, Ahmad Qaid pula memberitahu, dia memang sudah bersedia seandainya mendapat tawaran daripada badan induk tersebut.

“Kalau ada rezeki dipanggil, masuklah. Saya memang bersedia jika BAM bagi tawaran,” katanya yang pernah memenangi Jelajah Remaja Elit Grand Final 2023 untuk kategori Beregu Lelaki Bawah 16 Tahun.

Dalam pada itu, Shahadzryl Suhaimie menjuarai kategori Bawah 13 Tahun selepas mengalahkan Jorus Lee dari Pulau Pinang 12-15, 15-12, 15-12, manakala, Beregu Perempuan Bawah 15 tahun, Chu Jing Xuan-Siti Noraminah Abdullah dari Selangor mengetepikan rakan sepasukan Adiq Puteri Waheeda-Tanisha 15-9, 15-6.

Bagi kategori Perseorangan Lelaki Bawah 17 Tahun, pemain di bawah nungan BAM, Leong Di Shan menewaskan rakan sepelatih, Jared Foo 15-13, 10-15, 15-11, sementara, Perseorangan Perempuan Bawah 17 tahun, wakil BAM, Teoh Sue Mei menyingkirkan rakan sepasukan, Jang Sher Ling 15-13, 12-15, 15-12. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×