PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lei Pei Jing muncul sebagai naib juara selepas tunduk kepada gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.
Pasangan yang menghuni ranking No. 85 dunia itu terpaksa akur kepada wakil tuan rumah tersebut dengan keputusan straight set 19-21, 16-21 dalam masa 50 minit di Shenzen Arena.
Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua beregu dan kekalahan itu menyaksikan Pang Ron-Pei Jing kini ketinggalan 0-1 di belakang Yang Zhe-Dong Ping.
Walaupun kecewa dengan kegagalan itu, muncul sebagai naib juara pada kejohanan berstatus Super 750 tersebut adalah pencapaian terbaik Pang Ron-Pei Jing sejak mereka digandingkan bersama, Mei lalu.
Selaku naib juara, Pang Ron-Pei Jing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$70,000 (RM283,114) beserta pingat perak.
Pasangan itu difahamkan turut menokok 9,300 mata selepas China Masters berakhir dan dijangka bakal melonjakkan ranking dunia mereka daripada kedudukan No. 85 ke dalam kelompok 50 terbaik dunia.
Sebelum ini, Pang Ron berpasangan dengan pemain muda, Cheng Su Yin, tetapi, selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dia membuka lembaran baharu sebagai pemain profesional dan menjalin kerjasama dengan Pei Jing.
Pei Jing pula sebelum ini bergandingan dengan Jimmy Wong, tetapi, pemain itu memutuskan untuk menyertai BAM dan berpasangan dengan Su Yin. – UTUSAN










